GAMBAR yang dirakam pada 27 September lalu  menunjukkan debu dan asap  keluar dari kawah gunung Bromo. - Antara
GAMBAR yang dirakam pada 27 September lalu menunjukkan debu dan asap keluar dari kawah gunung Bromo. - Antara
AFP

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia melarang pelancong melawat gunung berapi Bromo di Jawa Timur selepas berlaku letusan kecil kelmarin.

Jurucakap Agensi Bantuan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, larangan itu dibuat kerana bimbang letusan lebih besar berlaku.

Menurutnya, penduduk kampung, pendaki dan pelancong tidak dibenarkan berada dalam kawasan sekeliling 2.5 kilometer gunung berkenaan.

Bromo, antara gunung berapi paling popular di Indonesia, menghamburkan asap beratus kilometer di udara sejak beberapa hari lalu.

Pihak berkuasa juga mengesan beberapa gempa bumi kecil atau gegaran yang berpunca daripada aktiviti gunung berkenaan.

“Gunung Bromo masih belum stabil dan dijangka letusan berterusan berlaku,” katanya.

Penerbangan ke lapangan terbang Malang yang berhampiran gunung itu turut dilencongkan ke Surabaya sebagai langkah berjaga-jaga.

Bulan lalu, pihak berkuasa memindahkan beratus-ratus pelancong dari gunung Barujari yang tiba-tiba meletus. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:08 AM