AFP

Barcelona, Sepanyol: Penjaga gol Barcelona Marc-Andre ter Stegen (gambar bawah) menegaskan dia tidak akan mengubah gaya rangginya biarpun melakukan kesilapan besar hingga menyebabkan juara Sepanyol itu tewas 3-4 kepada Celta Vigo, awal pagi semalam.

Tiga gol Celta dalam 11 minit babak pertama hadir menerusi Pione Sisto, Iago Aspas dan jaringan Jeremy Mathieu ke gawang sendiri menyebabkan Barca tersentak sebelum kebangkitan separuh masa kedua menyaksikan jaringan Gerard Pique dan penalti Neymar membantu pelawat untuk kembali bersaing.

Bagaimanapun penjaga gol Jerman itu kemudiannya menolak bola ke arah Pablo Hernandez untuk gol keempat Celta bagi melenyapkan harapan kebangkitan biarpun Pique menanduk masuk jaringan ketiga Barca selepas itu.

“Jika saya tidak melakukan kesilapan, kami berpeluang cerah untuk menang,” kata Ter Stegen.

“Ia kesilapan yang tidak sepatutnya saya lakukan. Ia kesilapan saya tapi biarpun ia berlaku, saya tidak akan mengubah gaya permainan.”

Ter Stegen mencatat rekod La Liga untuk hantaran yang disempurnakan penjaga gol awal musim ini di Athletic Bilbao dan Pique mempertahankan kemampuan penjaga gol berusia 24 tahun itu mengemudi serangan Barca dari bawah.

“Kami sedar Marc mempunyai kaki yang bagus. Banyak sumbangan yang diberikannya dan gerakan hebat adalah hasil tindakannya,” kata Pique yang hampir menjaringkan hatrik apabila tandukannya pada masa kecederaan tersasar.

“Semua orang melakukan kesilapan tapi ia tidak akan memberi kesan kepadanya.”

Kekalahan bermakna Barca terlepas peluang untuk melonjak ke puncak carta dalam aksi luar biasa La Liga apabila Real Madrid seri bagi empat perlawanan berturut-turut apabila terikat 1-1 di laman sendiri dengan Eibar.

Atletico Madrid dan Real mendahului Barca dengan dua mata sekalipun Atletico gagal menyempurnakan dua sepakan penalti sebelum menang 2-0 ke atas Valencia.

“Kami jauh lebih baik pada babak kedua. Kami tidak rugi apa-apa dan ia benar-benar menjadi,” kata Pique.

“Perjalanan masih jauh. Semua orang masih berhati-hati dan kehilangan mata. Itulah tahap liga kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 7:53 AM