SULTAN Mizan (tengah) diiringi Ahmad Razif (kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Abdul Rashid  (dua kanan). FOTO Aswadi Alias
SULTAN Mizan (tengah) diiringi Ahmad Razif (kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Abdul Rashid (dua kanan). FOTO Aswadi Alias
Helmy Abd Rahman Abdul Hamid


Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu masyarakat khususnya di negeri ini supaya lebih progresif untuk mengangkat martabat Islam, bukannya sekadar berbangga dengan kegemilangan lama.

Baginda yang ditemani Sultanah Terengganu, Sultanah Nurzahirah bertitah, umat Islam perlu melihat pengertian hijrah dalam konteks lebih luas antaranya menghapuskan kelemahan untuk menjadi lebih baik.

"Kita harus buang sikap lapuk yang merugikan. Semua akan tinggal sejarah jika kita hanya berbangga dengan pencapaian umat terdahulu, sedangkan kita sendiri tidak berubah untuk mencapai kejayaan.

"Beta juga menyeru semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan sosial, agama dan rakyat lebih bersedia menjadi umat progresif untuk mengekalkan martabat Islam, bukannya meninggalkan negara sehingga dijajah musuh Islam," titahnya sebelum merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1438 Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tokoh Maal Hijrah Tahun 1438 Hijrah bagi Terengganu dianugerahkan kepada Imam Masjid Mengabang Telipot yang pernah menjadi hakim Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, Abdul Rashid Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 1:42 PM