Jaafar (duduk) bersama ahli keluarga selepas dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Jaafar (duduk) bersama ahli keluarga selepas dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan sekiranya berlaku perselisihan faham.

Baginda bertitah, al-Quran melarang umat Islam daripada berpecah belah sebaliknya Islam menuntut supaya semua ahli masyarakat bersatu padu dan berusaha ke arah menjadikan sebuah negara yang kuat daripada segala aspek.

"Dengan itu, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negara dapat dipertingkatkan.

"Seluruh umat Islam bertanggungjawab menjaga kesejahteraan negara daripada diceroboh musuh Islam sama ada secara terang-terangan atau halus.

"Justeru, beta menyeru umat Islam di negeri ini supaya sentiasa memperkukuhkan perpaduan dan berusaha mencari titik persefahaman," katanya ketika bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Teks ucapan baginda dibacakan Tengku Sri Temenggung Raja Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Sementara itu, bekas Dekan Sekolah Pengajian Islam dan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Jaafar Hassan, 81, diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1439/2017M.

Jaafar yang masih aktif melakukan aktiviti penyebaran ilmu melalui penulisan buku dan ceramah di masjid menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah RM10,000, persalinan bernilai RM500, piala dan sijil penghargaan.

Dia yang menjadi pelajar Melayu pertama mendapat Anugerah Pingat Emas Syahadah Tertinggi di Majlis Idul Ilmi pada 1962 sangat aktif dalam melakukan kerja kebajikan sejak usianya masih muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:14 PM