Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam supaya tidak terikut-ikut dengan kemajuan sehingga melupakan nilai agama.

Baginda bertitah, pegangan kepada agama Islam perlu menjadi rujukan dalam menilai kemajuan yang mendatang agar tidak tergelincir daripada landasan sebenarnya.

"Kemajuan yang dicapai melalui nilai Islam serta peradaban yang dilahirkan daripadanya hanya boleh diperoleh melalui pendidikan dan peningkatan minda serta inovasi dalam kalangan umat Islam.

"Landasan yang benar hendaklah diterjemahkan dengan hasil dan bukti bahawa kebenaran Islam itu boleh melihat, dirasai dan dihargai oleh sesiapa sahaja," titahnya dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri Terengganu, 1437 Hijrah/2015 di Stadium Negeri, Batu Buruk, di sini.

Turut berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama putera dan puteri Sultan dan Sultanah Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra.

Hadir sama, Menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 12:15 PM