Anggota bomba mencari mangsa yang terjun ke dalam Sungai Paka. FOTO Rosli Ilham
Anggota bomba mencari mangsa yang terjun ke dalam Sungai Paka. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Lelaki berusia 56 tahun dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Paka sebaik menyedari kehadiran sepasukan anggota polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam kejadian di Jeti Kuala Paka, dekat sini, tengah hari tadi.

Lelaki itu terjun ke dalam sungai berkenaan bersama tiga lagi rakannya, kira-kira 12.45 tengah hari.

Mangsa sebelum itu dikatakan berehat bersama tiga rakannya di kawasan jeti terbabit sebelum mereka terjun sungai sebaik menyedari kehadiran anggota polis yang melakukan operasi di kawasan berkenaan.

Mangsa yang tinggal di Taman Hadari Paka dipercayai tenggelam ke dasar sungai manakala tiga rakannya sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Polis yang menerima laporan awam bersama anggota bomba melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa. Bagaimanapun sehingga jam 4 petang, mangsa masih belum ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 4:40 PM