JENAZAH Puteri Aniesya (gambar kecil) yang ditemui lemas dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. FOTO ROSLI ILHAM
JENAZAH Puteri Aniesya (gambar kecil) yang ditemui lemas dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


HASRAT seorang pelajar melihat keindahan sungai Paka berakhir dengan tragedi selepas dia ditemui lemas di Muara Sungai Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun, hari ini.

Puteri Aniesya Najwa Zamani, 16, ditemui lemas pada jam 5.45 petang oleh penduduk kampung yang membantu gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

Sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan bersama dua sepupu dan rakannya berjalan-jalan di tepi tebing sungai itu kira-kira jam 4.30 petang.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai sebelum sepupu dan rakannya bertindak terjun untuk menyelamatkannya.

Usaha mereka untuk menyelamatkan mangsa gagal selepas remaja terbabit terus tenggelam ke dasar sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, dua sepupu dan rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada saudara mereka.

“Polis dengan kerjasama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Paka dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 9:07 PM