ZIYAD padam rekod Hodgetts di London 2012.
ZIYAD padam rekod Hodgetts di London 2012.
RIDZUAN (kiri) dirai lawan selepas ungguli emas acara 100m T36.
RIDZUAN (kiri) dirai lawan selepas ungguli emas acara 100m T36.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Naza Corporation Holdings (Naza) mengumumkan ganjaran hampir RM500,000 membabitkan kenderaan SUV terbaru, Kia Sportage berharga RM121,888 dan seunit pangsapuri suite berharga RM350,000 di Trion 888, Equine Park masing-masing kepada dua atlet paralimpik negara yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio, Brazil.

Dua pingat emas itu diraih menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara pecut 100 meter T36 lelaki (cerebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki.

Pengerusinya, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, kejayaan yang dilakar atlet paralimpik negara di Rio membanggakan serta pingat emas diraih atlet negara, bukan saja memberi inspirasi kepada atlet, namun kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya amat berbangga dengan atlet Paralimpik Malaysia yang membawa pulang pingat emas. Sebagai syarikat tempatan, Naza akan menghadiahkan atlet Malaysia yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 dengan kereta serba baharu Kia Sportage serta seunit rumah di Trion 888 Equine Park setiap seorang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

SM Nasarudin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, adalah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang turut berada di Brazil ketika ini untuk menyaksikan atlet negara bertanding di temasya terbabit.

Beliau yang kali pertama menerajui MPM berkata, apa yang lebih membanggakan, kedua-dua kejayaan yang ditempa itu turut diraih dengan mencipta rekod dunia dan rekod paralimpik.

“Atlet paralimpik kita menunjukkan keberanian mereka sekalipun berdepan pelbagai kesukaran. Inilah yang kami mahu tunjukkan bahawa Malaysia Boleh!,” katanya.

SM Nasarudin berkata, pada mulanya syarikat hanya mengambil inisiatif untuk memberikan ganjaran kenderaan SUV terbaru, namun melihatkan kepada kecemerlangan yang dicapai, pemegang saham mengambil keputusan untuk memberikan tambahan seunit rumah kediaman di Trion 888.

“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami sentiasa komited terhadap pembangunan dan pencapaian sukan negara. Malah, pada tahun ini saja kami sudah menaja pertandingan terbesar skuasy wanita peringkat antarabangsa, jadi ganjaran ini adalah sebahagian daripada usaha kami,” katanya.

Trion 888 terletak di Equine Park, Sri Kembangan adalah projek hartanah yang dibangunkan oleh Naza TDDI Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza. Unit kediaman berkenaan yang berkeluasan 41.81 meter persegi itu turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, bilik pelbagai guna, gimnasium, kemudahan dobi dan surau serta dijangka siap sepenuhnya hujung tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 8:44 AM