KHAIRY (tiga dari kanan) anggap peluang atlet paralimpik di Rio sama dengan atlet normal.
KHAIRY (tiga dari kanan) anggap peluang atlet paralimpik di Rio sama dengan atlet normal.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melontarkan cabaran kepada atlet paralimpik negara untuk menghadiahkan emas pertama pada temasya Sukan Paralimpik di Rio tahun ini.

Tegas Khairy tiada apa yang mustahil dan mungkin barisan atlet paralimpik negara terutamanya dalam sukan olahraga mampu menghadiahkan emas pertama buat negara.

Katanya, beliau percaya atlet paralimpik negara sudah bersedia menyahut cabaran dan mereka tidak berdepan masalah untuk merealisasikan impian itu kerana kini sebaris dengan barisan atlet normal yang lain.

“Kedua-dua atlet normal dan paralimpik mempunyai peluang sama. Harapan kita untuk mereka memberikan emas pertama kepada negara,” katanya yang turut memaklumkan tambahan dana RM3 juta daripada TuneTalk untuk atlet paralimpik sempena temasya terbesar dunia itu.

Sementara itu Khairy mengumumkan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin dilantik sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) baru berkuat kuasa bulan ini.

Khairy berkata, pelantikan itu dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan MPM ke-18, 30 Disember lalu.

“Saya percaya dan yakin kepimpinan baru MPM di bawah Nasaruddin dapat memajukan lagi sukan paralimpik di Malaysia serta jalinan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan serta Institut Sukan Negara,” katanya.

Terdahulu, Khairy menyampaikan insentif SHAKAM kepada atlet yang meraih pingat pada Sukan Para ASEAN di Singapura, Kejohanan Wusyu Remaja Asia (Mongolia(, Kejohanan Skuasy Individu Remaja Bawah 19 Asia (Iran) dan Kejohanan Wusyu Dunia (Indonesia) tahun lalu.

Sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan kepada atlet menerusi skim itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:48 AM