Perumahan PR1MA di Presint 11, Putrajaya.
Perumahan PR1MA di Presint 11, Putrajaya.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: NWP Holdings Bhd menerusi syarikat pembinaanya, NWP Builder Sdn Bhd (NWP Builder) memeterai perjanjian pembinaan siap bersama M2B World (M) Sdn Bhd (M2B World) bagi membina 3,855 unit kediaman membabitkan enam projek perumahan rakyat (PPR).

Kedua-dua pihak terbabit iaitu NWP Builder dipilih sebagai kontraktor projek manakala M2B World adalah kontraktor pasang siap bagi projek kediaman dimiliki Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) dan Perbadanan PRIMA Malaysia (PRIMA).

Pengarah NWP Holdings, Prof Datuk Dr Dominic Lau berkata, keenam-enam projek itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM744 juta yang mana harga ditawarkan untuk pembeli tertakluk kepada SPNB dan PRIMA.

Beliau berkata, tiga projek pertama terletak di Kelantan iaitu Kuala Krai, Kota Bharu dan Ketereh manakala tiga projek lain di Sandakan, Sabah, Pekan, Pahang dan Ampang, Selangor.

“Projek perumahan ini disasarkan kepada rakyat dan harga ditawarkan lebih rendah daripada harga pasaran sekitar 10 hingga 15 peratus.

“Dari segi jenis kediaman pula adalah strata dan teres bergantung kepada lokasi,” katanya pada majlis MoU itu, baru-baru ini.

Semua projek itu membabitkan tanah berkeluasan 161.8 hektar dan pelaksanaan projek berkenaan dilihat memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah mampu milik.

Lau berkata, kerjasama itu membantu syarikatnya mempelbagaikan segmen perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 8:08 AM