Anggota keselamatan Afghanistan berkawal di depan American University of Afghanistan di Kabul selepas serangan berakhir. - Foto AP
Anggota keselamatan Afghanistan berkawal di depan American University of Afghanistan di Kabul selepas serangan berakhir. - Foto AP
AP

Kabul: Serangan militan terhadap American University of Afghanistan sejak semalam tadi, menyebabkan 13 terbunuh, termasuk tujuh pelajar dan tiga penyerang manakala puluhan lagi cedera.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Sediqqi, dua anggota polis dan seorang pengawal keselamatan juga terbunuh dengan sekurang-kurangnya 37 cedera, termasuk tujuh anggota polis.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu namun, pihak berkuasa Afghanistan percaya di berkemungkinan besar dilakukan Taliban.

Serangan 7 malam (4 petang waktu Malaysia) semalam itu bermula dengan penyerang nekad meletupkan bom kereta yang merobohkan tembok membolehkan dua penyerang memasuki kampus.

Menurut Sediq, mereka bersenjatakan bom tangan dan raifal, mengganas selama sembilan jam sebelum mati dalam pertempuran dengan oleh polis pada 3.30 pagi tadi (12.30 tengah malam waktu Malaysia).

“Hampir semua terbunuh berada dekat tingkap kelas akibat terkena tembakan,” katanya.

Lebih 150 pelajar terperangkap dalam kampus universiti di pinggir Kabul yang ditubuhkan pada 2006 menyediakan kursus seni gaya pembelajaran Amerika. Ia mempunyai lebih 1,000 pelajar.

Pelajar yang terperangkap berlindung dalam kelas dan sekurang-kurangnya dua bom tangan dilempar ke dalam kelas menyebabkan ramai cedera.

Serangan semalam berlaku dua minggu selepas dua kakitangan universiti iti, seorang rakyat Australia dan seorang Amerika, diculik kumpulan bersenjata dan nasib mereka masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 4:42 PM