Pelajar SMK Lanchang menunggu bantuan selepas bas yang dinaiki berasap di bahagian enjin ketika dalam perjalanan ke Melaka, pagi tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Pelajar SMK Lanchang menunggu bantuan selepas bas yang dinaiki berasap di bahagian enjin ketika dalam perjalanan ke Melaka, pagi tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Empat guru dan 37 pelajar berdepan detik mencemaskan apabila bas persiaran dinaiki berasap di bahagian enjin di Kilometer 255.4 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, berhampiran susur Senawang, di sini, pagi tadi.

Guru dan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanchang, Pahang, itu dalam perjalanan ke Melaka sempena program lawatan kepimpinan pengawas.

Guru pengiring, Rustami Ahmad, 41, berkata, kejadian disedari beberapa pelajar yang duduk di bahagian belakang bas sebelum mereka memaklumkan kepada guru dan pemandu.

Menurutnya, pemandu memberhentikan bas di lorong kecemasan dan mengarahkan semua pelajar keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Mohamad Faiz Suleyman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.42 pagi sebelum dua jentera dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, bas berkenaan tidak terbakar dan cuma berasap di bahagian enjin yang dipercayai rosak.

"Bagaimanapun, semua penumpang dan pemandu bas terbabit sudah keluar. Kita (bomba) menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 4:15 PM