Keadaan kereta mangsa yang terbabit kemalangan hari ini. FOTO Ihsan JBPM Johor
Keadaan kereta mangsa yang terbabit kemalangan hari ini. FOTO Ihsan JBPM Johor
Mohd Sabran Md Sani


GURU wanita berusia 55 tahun maut selepas kereta dinaikinya dilanggar bas pelancong di lampu isyarat Pekan Ayer Hitam hari ini.

Kejadian 2.50 petang itu mengakibatkan mangsa, Tan Cheng Ho yang duduk di belakang kereta Nissan Almera maut di lokasi.

Kemalangan turut mengakibatkan dua individu dalam kereta itu cedera manakala pemandu bas terselamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Sudin Manap berkata, enam anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2.57 petang.

“Kemalangan membabitkan bas persiaran melanggar kereta Nissan.

“Bas yang membawa pelancong itu melanggar bahagian belakang kereta dan mengakibatkan kereta itu berpusing sebelum melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Menurutnya, di dalam kereta itu terdapat tiga orang dan mangsa yang duduk di belakang maut.

“Dua yang lain cedera manakala pemandu bas dan pelancong tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 9:37 PM