MANGSA warga Romania dibawa ke jeti sebelum ke hospital FOTO ihsan APMM
MANGSA warga Romania dibawa ke jeti sebelum ke hospital FOTO ihsan APMM
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Kru kapal warga Romania diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dilaporkan terkena renjatan elektrik di atas kapal kira-kira 20 baru nautika dari Pulau Tikus, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu mangsa, Ceapa Razvab Jonut, 22, dilaporkan berada di atas kapal kontena yang dalam perjalanan dari Bangladesh ke Singapura.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.10 pagi dari seorang ejen kapal yang meminta bantuan kecemasan untuk membawa kru kapal yang terkena renjatan elektrik ke jeti untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, sepasukan anggota penguatkuasa APMM Daerah Maritim Dua bergegas ke lokasi kapal berkenaan yang terletak kira-kira 20 batu nautika barat laut Pulau Tikus.

"Kami mengarahkan kapal berkenaan untuk pergi pada kedudukan kira-kira 7.7 batu nautika barat laut sebelum bot APMM menghampiri kapal kontena MV Wehr Schulau.

"Sesudah menghampiri kapal berkenaan, mangsa yang dilaporkan terkena renjatan elektrik itu dibawa ke Jeti Swettenham dan tiba pada 10.50 pagi sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:46 PM