Warga emas dari Australia yang menghadapi masalah kesihatan dibantu untuk dibawa ke hospital. FOTO Zaid Salim
Warga emas dari Australia yang menghadapi masalah kesihatan dibantu untuk dibawa ke hospital. FOTO Zaid Salim
Oleh Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 (DM9) Kuala Terengganu menyelamatkan seorang pelancong warga emas berusia 80 tahun yang menghadapi masalah kesihatan ketika dalam pelayaran dari Singapura ke Thailand, tengah hari tadi.

Wanita warga Australia hanya dikenali sebagai Elsie yang terkena jangkitan kuman pada paru-parunya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), sebaik tiba di Jeti APMM, Pulau Kambing, di sini, pada 12.50 tengah hari.

Pengarah Operasi DM9 Kuala Terengganu Komander Maritim Simon Templer Lo berkata, APMM Wilayah Timur, Kuantan, menerima panggilan kecemasan daripada sebuah kapal persiaran mewah yang meminta bantuan bagi menyelamatkan seorang penumpang warga Australia yang menghadapi masalah kesihatan pada 9.50 pagi.

"Selepas menerima panggilan itu, kita segera menghantar bot laju KM NUSA ke lokasi iaitu pada kedudukan tiga batu nautika dari Kuala Terengganu dan sebaik tiba pada jam 11.50 pagi, kita mengambil masa 20 minit untuk memindahkan pesakit bersama suami dikenali sebagai Brian, 80 dan doktor serta jururawat kapal persiaran berkenaan ke bot sebelum tiba di jeti APMM pada jam 12.50 tengah hari.

"Laporan terkini yang diterima daripada pihak hospital pada 5 petang tadi mengesahkan warga emas terbabit mengalami jangkitan paru-paru dan kini ditempatkan di wad hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut," katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 7:53 PM