Keputusan dibuat atas prinsip menghormati Perlembagaan dan Rukun Negara.
Keputusan dibuat atas prinsip menghormati Perlembagaan dan Rukun Negara.
Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: Walaupun kerajaan mengumumkan penyertaan kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) tahun ini dibuka kepada semua penggiat seni tanpa mengira bahasa, tetapi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengambil langkah sebaliknya apabila mengumumkan enggan terbabit dalam FFM28.

Setiausaha Kehormat FDAM, Datuk Abdul Rahim Awang dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip menghormati Perlembagaan dan Rukun Negara.

FDAM mendakwa, usaha membenarkan, mengiktiraf atau mengangkat karya bukan berbahasa Malaysia untuk anugerah utama pada FFM28 adalah suatu tindakan penghinaan.

"FDAM tetap teguh dengan pendirian bahawa bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan dengan seni dan budaya. Sebarang usaha untuk membenar, mengiktiraf atau mengangkat karya bukan berbahasa kebangsaan untuk anugerah utama kebangsaan adalah tindakan yang menghina dan meremehkan Perlembagaan Negara dan tidak menghormati Rukun Negara," katanya.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengumumkan penyertaan untuk kategori Filem Terbaik pada FFM28 dibuka kepada semua penggiat seni tanpa mengira bahasa.

Berikutan keputusan itu, tiga kategori dalam kumpulan Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada FFM28 dimansuhkan.

Kontroversi tercetus apabila penganjur FFM28 iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memperkenalkan pengasingan karya Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia yang mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan tokoh korporat.

Sementara itu, Presiden FDAM Othman Hafsham ketika dihubungi bagi mendapatkan komen mengenai tindakan persatuan itu enggan mengulas.

Othman berkata, dia akan mengadakan pertemuan dengan Finas minggu depan.

“Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sehingga satu kata putus diambil. Buat masa ini saya dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang kenyataan. Siapa yang nasihatkan saya itu, biarlah saya rahsiakan,” katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 5:28 PM