Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah : Pekerja ladang warga Myanmar maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Lendu, Rembia, di sini, 11.45 malam tadi.

Nyiem Cam, 20, yang menunggang motosikal hilang kawalan setibanya di tempat kejadian sebelum terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki empat sekeluarga.

Difahamkan, Nyiem melambung, tercampak hampir 25 meter dan mati di tempat kejadian.

Mangsa yang dikatakan baru menerima gaji dalam perjalanan dari arah pekan Rembia selepas makan malam bersama rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan kemalangan.

"Mangsa mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 4:18 PM