ORANG ramai berkerumun di lokasi penunggang motosikal warga asing maut selepas dipercayai terbabas akibat serangan jantung di Kampung Lendu Dalam.
ORANG ramai berkerumun di lokasi penunggang motosikal warga asing maut selepas dipercayai terbabas akibat serangan jantung di Kampung Lendu Dalam.
Nur Saliawati Salberi

Alor Gajah: Seorang warga emas yang mencari tin kosong dikejutkan dengan penemuan mayat penunggang motosikal dalam kejadian di Kampung Lendu Dalam di sini, pagi semalam.

Mayat lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun itu ditemui jam 10.30 pagi, dalam keadaan badannya telentang dengan kakinya tertindih pada motosikal.

Penduduk kampung yang juga saksi kejadian, Mokhtar Isnin, 55, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan abangnya yang menjumpai mayat berkenaan ketika mencari tin kosong.

Menurutnya, selepas diberitahu abangnya, dia bergegas ke lokasi kejadian yang terletak tidak sampai 100 meter dari rumah sebelum menelefon polis selepas mendapati lelaki itu sudah tidak bernyawa.

“Mungkin dia yang dicari ambulans petang semalam, kerana jam 5 petang itu saya ternampak beberapa kali ambulans lalu.

“Keadaan di tepi jalan ini semak-samun jadi sukar dilihat mangsa yang terbabas ke dalam semak, mujurlah dia ditemui hari ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz, berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda C100 dalam perjalanan dari Kampung Lendu ke arah Rembia, di sini, dipercayai terbabas.

“Siasatan pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah ke atas mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 11:30 AM