ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran.
Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah

Sebuah motosikal meletup dan terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan motosikal lain di susur masuk Jalan Lendu di Persimpangan Lampu Isyarat Rembia, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi, penunggang motosikal Yamaha RX-S, Tong Yew Wee, 60, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh menuju ke tempat kerjanya di Lendu Dalam.

Setibanya di tempat kejadian, dia bertembung dengan sebuah motosikal Yamaha ditunggang seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan ringan di anggota badan.

Pada masa sama, motosikal Yamaha RX-S ditunggang Tong yang tercampak di laluan tengah tiba-tiba meletup dan terbakar.

Tong yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya dengan menunggang motosikal sebelum sebuah motosikal membuat pusingan U dan melawan arus di hadapannya.

“Saya tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum berlaku pertembungan menyebabkan kami tercampak ke atas jalan raya.

“Saya cedera di kaki dan tangan bergegas mendapatkan penunggang motosikal yang turut terpelanting sebelum kedengaran letupan kuat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, orang ramai yang menyedari kejadian menghulurkan bantuan dan menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Komander Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Dzulkarnain Abd Halim bersama 14 pegawai dan anggota serta dua jentera tiba di tempat kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan.

Katanya, pihaknya berjaya memadamkan api dalam masa kurang lima minit manakala dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Alor Gajah dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kemalangan dan berkata, mangsa hanya cedera ringan.

Keterangan Gambar:

Pix 1: ANGGOTA bomba memadam api pada motosikal yang terbakar selepas terbabit kemalangan, pagi semalam.

Pix 2: KEADAAN dua motosikal yang terbabit kemalangan selepas bertembung satu sama lain hingga salah satunya terbakar.

Pix 3: ANGGOTA bomba melihat kecederaan dialami Chong Chee Leong, 62, selepas terbabit kemalangan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan selanjutnya.

Pix 4: TONG cedera di tangan dan kaki kanan.

-tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 8:57 AM