AFP

Rio de Janeiro: Walaupun pencapaiannya hampir menyamai legenda berbasikal trek British Chris Hoy yang meraih enam kejuaraan Olimpik, Jason Kenny (gambar) merasakan dirinya tetap seperti dulu biarpun bakal menyertai ‘Kelab Lima Emas Olimpik’.

Kenny membuktikan kejaguhannya dalam acara pecut apabila menewaskan rakan senegara, Callum Skinner di pentas final kelmarin sekali gus meletakkan dirinya sebagai pelumba terbaik dalam pasukan British kali ini.

Selain memenangi acara pecut individu, dia juga memastikan negaranya menguasai acara pecut berpasukan, Khamis lalu bersama dua lagi rakannya, Bradley Wiggins dan Steve Redgravedua untuk berada dalam senarai atlet terbaik British sepanjang zaman.

“Ia sesuatu yang baik untuk menjadi sebahagian ahli kelab berkenaan, kelab lima pingat emas.

“Saya akan terus merendah diri dan kekal fokus untuk menghadapi acara keirin selain tidak memikirkan perkara lain ketika ini,” kata Kenny.

Ujar Kenny lagi, tiada bezanya nikmat memenangi kejuaraan Olimpik sebanyak tiga atau lima kali.

“Agak pelik apabila saya langsung tidak merasai perbezaan biarpun ramai yang berkata saya memenanginya lima kali kerana keghairahan itu sama seperti ketika saya meraih kemenangan ketiga,” katanya.

Seandainya Kenny berjaya meraih emas acara keirin hari ini, dia akan menyamai rekod Hoy yang dilakukan pada temasya Olimpik sebelum ini.

Namun, berdasarkan keputusan lalu, pencapaiannya dalam acara itu kurang memberangsangkan walaupun pernah menjuarai gelaran dunia pada 2013.

“Ada kalanya saya beraksi baik dan ada juga tidak dalam acara itu. Saya tidak akan terkejut jika saya boleh meraih kemenangan atau saya juga boleh terkeluar daripada saingan seawal pusingan pertama,” katanya.

Dia memenangi dua pusingan dalam acara final pecut individu bagi mengatasi rakan sepasukannya, sama seperti dilakukan Hoy ke atasnya pada saingan Olimpik 2008 Beijing lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:05 AM