KENNY (dua dari kiri) ungguli acara keirin.
KENNY (dua dari kiri) ungguli acara keirin.
AFP

Rio de Janeiro: Jason Kenny memenangi emas acara keirin dalam situasi penuh kontroversi sekali gus menyamai rekod British meraih enam gelaran Olimpik, awal pagi semalam.

Pelumba berusia 28 tahun meraih emas keenam dan satu perak untuk mewarisi takhta juara keirin yang ditinggalkan legenda Chris Hoy.

“Saya sangat letih, badan terasa melayang. Saya tidak tahu, hadir dalam situasi melucukan kerana saya pada awalnya gembira,” kata Kenny.

“Agak terkejut (menyamai rekod Hoy) apabila berjaya mencapainya dan melakukan perkara yang sama adalah menakjubkan.”

Ia adalah emas berganda apabila tunang Kenny, Laura Trott memenangi acara omnium sebelum itu.

Kenny sudah memenangi tiga emas di temasya Rio dan Laura meraih dua, menjadikan keseluruhan pingat yang mereka menangi di Olimpik meningkat kepada 10.

“Boleh tahan, 10 pingat,” kata Kenny.

Aksi final keirin ditentukan pada perlumbaan ketiga selepas dua saingan awal dibatalkan namun tiada pelumba disingkirkan dengan Matthijs Buchli dari Belanda meraih perak manakala Azizulhasni Awang dari Malaysia meraih gangsa.

Kenny dan Azizulhasni kelihatan melakukan kesalahan pada perlumbaan kali pertama manakala juara dunia dari Jerman Joachim Eilers menyebabkan perlumbaan kali kedua dibatalkan walaupun ulang tayang televisyen menunjukkan dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Namun Kenny tetap bertahan untuk mencapai kejayaan setanding Hoy.

“Karektor yang dimilikinya adalah luar biasa. Ini adalah saat yang istimewa. Persembahan yang luar biasa malam ini (awal pagi semalam) dan sepanjang minggu,” kata Hoy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:13 AM