SUSPEK ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Kota Bharu tadi. FOTO ihsan pembaca
SUSPEK ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Kota Bharu tadi. FOTO ihsan pembaca
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Banduan yang melarikan diri dari Kem Pemulihan Kemasyarakatan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas sejak seminggu lalu berjaya ditahan di Kampung Jakar, Bukit Bunga, Tanah Merah jam 7.24 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan menyerah diri kepada penghulu kampungnya sebelum diserahkan ke Balai Polis Bukit Bunga.

"Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

"Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan suspek yang berada dalam tahanan di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, dekat sini, bertindak meloloskan diri kira-kira 12.30 tengah hari menerusi pintu belakang pusat tahanan berkenaan.

Ketika kejadian suspek sedang menyidai pakaian sebelum melompat melalui pagar.

Suspek sama pernah melarikan diri daripada tahanan polis enam tahun lalu (2010) dan berjaya ditahan kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 2:43 PM