Suspek berjaya diberkas malam tadi. FOTO ihsan polis
Suspek berjaya diberkas malam tadi. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Suspek kes rogol dan samun yang melarikan diri dari tahanan polis, Sabtu lalu, berjaya diberkas di Ladang Meliau, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek berusia 29 tahun ditahan di hadapan sebuah rumah selepas dipercayai bersembunyi di ladang kelapa sawit terbabit.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Sivananthan berkata, hasil kerjasama penduduk, suspek berjaya diberkas di lokasi kejadian.

“Semasa ditahan, suspek masih bergari dan gari itu tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk yang memberikan kerjasama sehingga tertangkapnya suspek,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran dan disiasat mengikut Seksyen 223/224 kerana melarikan diri dari tahanan polis.

Pada kejadian 7.30 malam Sabtu lalu, suspek melarikan diri ketika membuat helah meminta dibelikan makanan untuk berbuka puasa.

Suspek melarikan diri dari kenderaan polis dalam keadaan bergari.

Lelaki itu pertama kali diberkas pada 20 Februari lalu selepas dipercayai terbabit dengan kes rogol remaja perempuan berusia 17 tahun dan menyamun mangsa dan teman lelakinya di sebuah kampung di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 12:05 PM