PEMAIN Johor DT Azammuddin Akil (kiri) cuba melepasi kawalan dua pemain Perak.
PEMAIN Johor DT Azammuddin Akil (kiri) cuba melepasi kawalan dua pemain Perak.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Misi tiga mata yang diidamkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Perak dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Larkin, malam tadi.

Keputusan itu sekali gus menyukarkan skuad kendalian Mario Gomez untuk ke suku akhir dan perlu menang baki dua perlawanan jika ingin menghidupkan peluang apabila hanya mengutip tiga mata ketika Perak menduduki tangga kedua dengan tujuh mata.

Ketika aksi masih di peringkat awal, skuad kendalian Karl Heinz Weigang berjaya mengejutkan tuan rumah apabila sepakan percuma Oybek Kilichev tepat ke penjuru kanan gawang tuan rumah dan gagal diselamatkan penjaga gol Farizal Marlias.

Namun, jaringan itu tidak bertahan lama apabila skuad Harimau Selatan bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-15 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten Safiq Rahim selepas pengadil Suhaimi Mat Hassan menghukum tindakan Thiago Junior yang menampan bola dengan tangan.

Corak permainan berhati-hati dipamerkan Johor DT dan Perak selepas jaringan penyamaan itu dan kedua-dua pasukan sekadar berlegar di kawasan tengah padang untuk menggerakkan taktikal namun masih belum mampu mencemaskan benteng pertahanan kedua-dua pasukan sehingga berakhir babak pertama.

Peluang terbaik tuan rumah untuk menambah jaringan, muncul pada minit ke-55 tetapi terlepas begitu saja apabila bola umpanan Jorge Pereyra Diaz gagal disudahkan Mohd Azinee Taib yang merembat tinggi melepasi palang gol.

Kelekaan benteng pertahanan tuan rumah hampir mengundang padah apabila Marcos Antonio gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan bola berjaya dirampas Muhammad Fazrul Hazli Mohd Kadri namun Farizal sempat menutup ruang.

Sedar dengan kekerapan tuan rumah yang mengasak untuk memburu kemenangan, pelawat beraksi dengan selamat apabila berkampung di kawasan sendiri sehingga menyukarkan Diaz dan pemain gantian Safee Sali menyusup masuk ke dalam kotak penalti.

Malang buat tuan rumah apabila bola sepakan sudut Safiq pada minit ke-82 ditanduk kemas Mohd Fadhli Shas namun sempat di halang pemain pertahanan pelawat ketika Muhammad Hafizul sudah tertewas.

Ketika aksi berbaki lima minit, Safee terlepas peluang terbaik untuk memastikan kemenangan buat tuan rumah apabila bola tandukannya hasil sepakan lintang Safiq tersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 10:48 AM