DIAZ (kiri) ceria selepas meledak dua gol buat Johor DT.
DIAZ (kiri) ceria selepas meledak dua gol buat Johor DT.

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila melangkah ke final Piala FA selepas menewaskan Kedah 3-1 untuk mencatat agregat 4-3 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Larkin, malam tadi.

Sebaik babak pertama bermula, skuad Harimau Selatan tampak bersungguh-sungguh memburu kemenangan dan pada minit keenam, gerakan menarik kapten Safiq Rahim dipersia-siakan Mohd Azinee Taib yang merembat bola melewati palang pelawat.

Mohd Azinee sekali lagi mengundang kekecewaan buat rakan sepasukan pada minit ke-11 selepas mensia-siakan hantaran Jorge Pereyra Diaz namun rembatannya sekali lagi melambung tinggi.

Kedah terpaksa melupakan khidmat Syazwan Tajuddin pada minit ke-13 selepas pemain pertahanan Helang Merah itu mengalami kecederaan apabila cuba mengawal bola dan pengendali Tan Cheng Hoe memasukkan Osman Yusof bagi mengukuhkan benteng pertahanan.

Asakan bertali arus skuad kendalian Mario Gomez itu akhirnya menghasilkan jaringan pada minit ke-22 selepas Diaz yang menerima hantaran jauh, memperdaya penjaga gol Kedah Mohd Farhan Abu Bakar sebelum membuat tolakan kepada Juan Lucero.

Bagaimanapun, cubaan Lucero dihalang pertahanan pelawat dan bola membias ke arah Diaz yang tidak dikawal sekali gus memudahkannya merembat kencang untuk gol pertama tuan rumah.

Tuan rumah sepatutnya melangkah masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan lebih selesa tetapi Mohd Azinee masih lagi gagal melakukan gerakan penyudah walaupun gawang Kedah sudah ternganga.

Sebaik babak kedua bermula, bola sepakan jauh penjaga gol tuan rumah Farizal Marlias berjaya disambut Diaz yang berlari pantas untuk menewaskan pertahanan pelawat sebelum melorongkan bola kepada Lucero yang mudah menewaskan Mohd Farhan untuk meletakkan tuan rumah selesa di depan dengan 2-0.

Namun, kesilapan Jaszarin Jamaluddin yang gagal menghalang Ahmad Fakhri Saarani pada minit ke-67 membuka ruang buat pemain gantian Helang Merah itu untuk merembat bola kencang menewaskan Farizal sekali gus menjadikan kedudukan 2-1 sambil kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3.

Bagaimanapun, Diaz menamatkan sisa perjuangan Helang Merah ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan selepas bola sepakan lintang Muhd Fazly Mazlan gagal ditampan dengan kemas Mohd Farhan dan Diaz yang tidak dikawal mudah menolak masuk bagi memastikan kemenangan Harimau Selatan untuk melangkah ke pentas final Piala FA dengan agregat 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 8:05 AM