SAFIQ (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
SAFIQ (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Tugas berat menanti Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada aksi separuh akhir kedua nanti selepas hanya mampu menang tipis 3-2 ke atas Ceres Negros FC dalam separuh akhir pertama Piala AFC Zon Asia Tenggara di Stadium Larkin, malam tadi.

Walaupun memiliki kelebihan satu gol, skuad Harimau Selatan perlu lebih agresif bagi memastikan kelebihan jaringan itu dipertahankan atau mencari kemenangan pada separuh akhir kedua ketika kelab Filipina itu pasti akan hadir dengan corak permainan berbeza apabila menggunakan kesempatan beraksi di Stadium Panaad, Bacolod City, pada 31 Mei ini.

Sepanjang 15 minit babak pertama, kedua-dua pasukan tampak lebih tertumpu berlegar di kawasan tengah padang dan tidak melakukan percubaan mengundang bahaya.

Hanya memasuki minit ke-17, baru timbul keinginan skuad Harimau Selatan mencipta jaringan selepas gerakan dimulakan Gabriel Guerra menyaksikan Gonzalo Cabrera bertindak secara solo sebelum merembat leret tepat ke sudut kiri gol menewaskan penjaga gawang lawan Roland Mueller.

Namun, gol tuan rumah tidak bertahan lama selepas skuad kendalian Risto Vidakovic bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-21 apabila sepakan lintang Iain Ramsay menyaksikan Fernando Rodriguez sempat melayangkan badan untuk menanduk bagi menewaskan penjaga gol Farizal Marlias.

Farizal tertewas lagi selang empat minit kemudian apabila Bienvenido Maranon merembat kencang dari luar kotak penalti, tepat ke penjuru kanan gol yang menyukarkan Farizal untuk menghalang bola daripada menerjah jaringnya.

Peluang terbaik skuad Harimau Selatan mencari gol penyamaan tidak berhasil pada minit ke-28 selepas sepakan percuma Safiq Rahim dari jarak 20 meter sekadar terkena benteng pelawat.

Usaha berterusan anak didik Benjamin Mora untuk menyamakan jaringan membuahkan hasil ketika aksi berbaki seminit sebelum babak pertama berakhir apabila hantaran lintang Muhd Fazly Mazlan tepat kepada Safiq yang tidak dikawal untuk menanduk masuk menewaskan Mueller.

Pelawat hampir menambah jaringan pada minit ke-52 selepas Rodriguez pantas mencuri bola, berpunca daripada kesilapan Dominic Tan, namun Farizal sempat merebahkan badan untuk menepis keluar.

Anak didik Vidakovic terus beri tekanan terhadap benteng tuan rumah apabila sepakan percuma Manuel Ott pada minit ke-60 dari jarak 25 meter memaksa Farizal melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.

Serang balas Johor DT pada minit ke-68 menyaksikan tuan rumah kembali berada di depan apabila umpanan Safiq tepat kepada Ahmad Hazwan Bakri yang bertindak memusingkan badan sebelum merembat leret bagi menewaskan Mueller untuk kemenangan 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:54 AM