BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbuatan kejam seorang bapa mendera dan sanggup hendak mencampakkan anak perempuan berusia dua tahun, ke bawah jambatan dibalas dengan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor menjatuhi hukuman itu terhadap lelaki berumur 32 tahun itu selepas dia mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya dengan menderanya di jambatan tapak pelupusan sampah DBKL, Jinjang Utara, di sini antara 6 pagi hingga 7 pagi, 18 Januari lalu.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap lelaki yang tidak bekerja itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak agresif dengan memegang anaknya dengan kedua-dua tangan mangsa dikilas ke belakang badan serta dalam cubaan mencampak mangsa ke bawah jambatan.

Pengadu, seorang anggota polis yang melihat mangsa menangis dan selepas digertak, tertuduh menyerahkan kanak-kanak itu yang dalam keadaan tidak terurus dan kotor kepada pengadu sebelum melarikan diri menaiki motosikal. Pengadu membawa mangsa ke balai polis dan selepas dimandikan menemui kesan kecederaan di kepala, badan dan kaki mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 7:43 PM