DEKORASI di bilik anak perempuan juga perlu membawa bersama identitinya.
DEKORASI di bilik anak perempuan juga perlu membawa bersama identitinya.
SETIAP reka letak tetap menarik jika kena dengan gayanya.
SETIAP reka letak tetap menarik jika kena dengan gayanya.
GAYA mewah dan selesa untuk bilik tetamu (Bandar Rimbayu, IJM Land Berhad).
GAYA mewah dan selesa untuk bilik tetamu (Bandar Rimbayu, IJM Land Berhad).
KONSEP penataan terbuka yang menghubungkan ruang tamu, ruang makan dan dapur (Bandar Rimbayu, IJM Land Berhad).
KONSEP penataan terbuka yang menghubungkan ruang tamu, ruang makan dan dapur (Bandar Rimbayu, IJM Land Berhad).
Hartini Mohd Nawi


Pakar hiasan dalaman antarabangsa ini begitu teruja ketika membicarakan mengenai dunia dekorasi dan kesesuaiannya.

Baginya setiap idea penataan secara jelas menggambarkan identiti pengguna ruang itu sendiri.

“Keindahan dalam dekorasi adalah satu seni penataan yang membawa perlambangan siapa diri anda.

“Apabila anda selesa dengan persekitaran ruang yang digayakan, bermakna ia satu identiti,” kata pereka dalaman British Laurence Llewelyn-Bowen, 51, yang ditemui, baru-baru ini.

Pertemuan sempena majlis pelancaran koleksi terbaru Courts Malaysia (Courts) yang berlangsung di Kuala Lumpur, Februari lalu, memberi peluang kepada penulis bertanya lanjut mengenai dekorasi dari kaca mata beliau sendiri.

“Perkara paling penting dalam menzahirkan dekorasi pilihan pada ruang kediaman ialah sejauh mana ia memberikan keselesaan selain menjadi ‘pengganti’ diri anda terutama apabila tetamu bertandang.

“Justeru, idea boleh didapati dari pelbagai sumber. Dari persekitaran, tempat baru atau bersejarah dengan nilai estetika berbeza,” kata Laurence.

Malah, beliau sanggup merantau ke seluruh dunia untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dekorasi secara tidak langsung.

“Berbeza tempat, berbeza juga idea dekorasinya yang sering berkait rapat dengan budaya tempatan, gaya hidup dan keperluan masyarakat.

“Sudah tentu konsep yang dilengkapi dengan perabot dan aksesori hiasan begitu dekat dengan jiwa masyarakat itu sendiri.

“Perlambangan daripada pelbagai elemen termasuk warna, material dan kedudukan perabot pada ruang mengambil kira kesesuaian budaya sesuatu tempat,” katanya.

Secara peribadi beliau percaya rekaan terbaik antara elemen yang sesuai atau menyerikan semua konsep dekorasi selain digemari semua orang.

“Sudah tentu setiap rekaan mempunyai cerita keindahannya tersendiri dengan menyelitkan ciri glamor penuh eksklusif,” kata ketua juri rancangan realiti televisyen, The Apartment itu.

Bagaimanapun, Laurence lebih cenderung menjadikan ruang dapur sebagai tempat paling digemarinya.

Biarpun ramai memilih bilik tidur sebagai ruang paling privasi, berbeza bagi Laurence.

Beliau selesa menjadikan ruang dapur sebagai lokasi privasi berbanding ruang lain.

“Di kediaman saya sendiri pun, ruang ini terlalu istimewa dan memberi kebebasan kepada saya.

“Sama ada memasak, menghias ruang atau berehat yang semuanya dilakukan dengan selesa,” katanya.

Aliran dekorasi Malaysia

Dari kaca mata Laurence, masyarakat negara ini secara langsung yakin dengan idea dekorasi kediaman masing-masing.

Idea dekorasi sama ada ruang kediaman atau pejabat begitu dekat dengan gaya hidup di sini.

“Peluang berkunjung sebelum ini juga memberi gambaran jelas kepada saya bahawa penggunaan warna yang pelbagai antara elemen identiti masyarakat di sini.

“Adunan warna itu kelihatan melengkapkan gaya moden dan kontemporari yang nyata menjadi konsep paling popular terutama generasi muda.

“Di mana-mana tempat sekali pun, konsep ini antara pilihan teratas kerana kita tahu dekorasinya lebih praktikal, ringkas dan mesra pengguna,” katanya.

Jika dibandingkan gaya tradisional, gaya moden bermaksud sesuatu rekaan yang lebih ringkas, tetapi fungsinya luas termasuk pelbagai guna, ringan, tahan lasak dan jimat ruang.

Ini termasuk penggunaan material baru seperti aluminium, keluli tahan karat, kaca dengan kemasan kayu, kulit dan fabrik.

Tidak dinafikan konsep moden dan kontemporari turut menginspirasikan idea penataan yang lebih luas.

“Kediaman juga bukan sekadar berperanan sebagai tempat tinggal, malah lokasi pertama bagi setiap individu untuk memulakan gaya hidup sihat.

“Setiap dekorasi tetap menarik di mata kita yang sememangnya tidak mengetepikan unsur kemanusiaan yang mewujudkan suasana lebih harmoni dan berperibadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 5:01 AM