Ishii dipecat selepas pasukannya Kashima (baju gelap) tewas kepada Evergrande. FOTO AFP
Ishii dipecat selepas pasukannya Kashima (baju gelap) tewas kepada Evergrande. FOTO AFP
Reuters

JUARA kelab Jepun Kashima Antlers hari ini memecat jurulatihnya, Masatada Ishii selepas skuad itu tersingkir daripada Liga Juara Juara Asia (ACL).

Ishii membawa pasukan itu meraih gelaran domestik dan muncul naib juara Piala Dunia Kelab FIFA tahun lalu.

Kashima menewaskan juara Asia dua kali Guangzhou Evergrande (China) di stadium Kashima Soccer, semalam tetapi tersingkir menerusi peraturan gol tempat lawan selepas terikat agregat 2-2 dalam pertarungan timbal balik.

Kelab mengumumkan pemecatan itu dalam laman web rasmi mereka hari ini dan menggantikan Ishii dengan Takeshi Ogawa yang bertugas sebagai pembantu jurulatih kelab itu.

Ishii beraksi bersama Kashima sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih menjelang musim 2015 dan menjuarai Liga J musim lalu selepas Antlers menewaskan Urawa Reds Diamonds pada playoff kejuaraan itu.

Kashima mara ke final Piala Dunia Kelab FIFA di bawah Ishii dan tewas pada masa tambahan kepada Real Madrid.

Ia adalah pencapaian terbaik kelab Asia pada kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 3:00 PM