MAA unjur jualan kenderaan cecah 700,000 unit pada 2018.
MAA unjur jualan kenderaan cecah 700,000 unit pada 2018.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yakin jumlah jualan keseluruhan (TIV) mampu mencecah 700,000 unit pada 2018, sekiranya keadaan ekonomi semasa kembali pulih dengan peningkatan sentimen dalam kalangan pengguna.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, sektor automotif negara adalah tidak menentu ketika ini berikutan turun naik dalam pasaran semasa yang turut diakui pemain industri.

Katanya, berdasarkan situasi ekonomi global dan domestik dalam tempoh enam bulan akan datang, dilihat agak sukar untuk meramalkan sama ada TIV akan melepasi angka 700,000 unit pada akhir 2017.

“Malah, kami akan menyemak semula TIV tahun ini, memandangkan pembentangan mengenai prestasi industri bagi separuh pertama 2016 akan diadakan bulan depan.

“Pemain industri kini perlu bekerja keras dalam memastikan jumlah jualan kembali meningkat dengan mengadakan kempen promosi secara agresif dalam merangsang pasaran untuk kembali stabil,” katanya.

Awal tahun ini juga dilihat sebanyak 13 syarikat automotif termasuk UMW Toyota, Honda, Nissan (Edaran Tan Chong), BMW, Mercedes-Benz, Volkswagen, Naza Kia, Citroen, Mitsubishi, Isuzu, Ford, Jaguar dan Land Rover melancarkan kira-kira 27 model baharu dan versi peningkatan.

Jun lalu turut menyaksikan, sekurang-kurangnya tiga syarikat automotif utama, Mercedes-Benz, Honda dan Porsche melancarkan model baharu masing-masing.

Mengulas mengenai jualan segmen kereta mewah, Aishah berkata, segmen berkenaan hanya mengungguli sebahagian kecil TIV iaitu lima peratus dan dijangka kekal pada kadar sama.

Beliau berkata, pelanggan untuk kenderaan segmen mewah tidak terjejas, biarpun berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan membeli kenderaan baru berbanding dengan pasaran kereta penumpang biasa.

Sementara itu, beliau berkata, Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dilihat akan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran berdasarkan prestasi memberangsangkan syarikat automotif berkenaan sehingga akhir Mei 2016.

“Faktor penyumbang utama adalah disebabkan kereta yang ditawarkan oleh Perodua kebanyakannya dalam kadar harga jualan yang berpatutan kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 7:47 AM