BAGI tempoh 11 bulan tahun ini, TIV direkodkan mencecah 642,306 unit.
BAGI tempoh 11 bulan tahun ini, TIV direkodkan mencecah 642,306 unit.

INDUSTRI automotif tempatan bakal mencatatkan angka jualan tertinggi dalam sejarah pada tahun ini.

Ini kerana jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka melepasi sasaran 700,000 unit, berbaki bulan terakhir tahun ini.

Bagi tempoh 11 bulan tahun ini, TIV direkodkan mencecah 642,306 unit, semakin hampir dengan unjuran setahun penuh paling cemerlang seperti diramalkan kebanyakan penganalisis.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang berkata, dengan lebih 642,000 unit, jumlah jualan keseluruhan industri automotif dilihat mungkin menjangkaui angka 700,000 unit, paras tertinggi sejak 2015 iaitu 666,674 unit.

"Kami menjangkakan jualan kenderaan kukuh pada Disember dan TIV 2022 mungkin mencapai sasaran 700,000 unit atau melepasi angka itu," katanya dalam nota penyelidikan.

Industri automotif tempatan sekali lagi merekodkan prestasi bulanan kukuh pada November.

Angka 64,404 unit yang dicatatkan pada November, jualan pada bulan dikaji adalah 5.6 peratus lebih tinggi disokong lonjakan jualan kenderaan Perodua (11 peratus) dan Toyota/Lexus (13 peratus).

"TIV bulanan kekal teguh disokong pesanan tertunggak selama berbulan-bulan sejak Jun 2022 dan isu rantaian bekalan yang mereda.

"Dengan kebolehlihatan bekalan lebih besar, eksekutif automotif menzahirkan keyakinan untuk menyempurnakan pesanan yang dikecualikan daripada cukai jualan sebelum akhir Mac tahun depan.

"Bagi tempoh 11 bulan 2022, Perodua menjual 251,000 unit dan berada dalam landasan melangkaui sasaran 265,900 unit bagi setahun penuh 2022.

"Bagaimanapun, penyusutan bulan ke bulan sebanyak 12 peratus yang direkodkan Proton memberikan kesan terhadap TIV sektor automotif apabila pengeluarannya turut mengalami penurunan 12 peratus dan kembali kepada paras biasa," katanya.

Dengan angka 642,306 unit bagi tempoh Januari hingga November 2022, industri automotif negara hanya memerlukan 57,694 unit lagi untuk mencipta rekod baharu.

Ia dilihat tidak mustahil memandangkan Disember adalah bulan yang sibuk untuk semua pengeluar bagi memenuhi tempahan tertunggak, di samping pelbagai kempen dan promosi akhir tahun dilaksanakan untuk menarik pembeli.

Untuk perbandingan, jualan pada Disember 2021 adalah berjumlah 65,184 unit.

Katanya, setakat November lalu, kenderaan jenama tempatan mendominasi pasaran dengan 57.9 peratus penguasaan.

"Perodua mencatatkan 39 peratus penguasaan pasaran, diikuti Proton (18.9 peratus), Toyota (14.1 peratus) dan Honda (11.3 peratus)," katanya.

Dari aspek jumlah pengeluaran industri (TPV) pula, industri automotif kembali pulih 11 peratus bulan ke bulan selepas susut 15 peratus pada Oktober.

Sebagai rumusan, TPV Oktober susut 15 peratus bulan ke bulan, dikekang pengeluaran Perodua yang lebih rendah akibat sesi penyelenggaraan kilang.

Bagaimanapun pada November, pengeluaran kenderaan Perodua meningkat semula dan kilangnya dilihat beroperasi menghampiri kapasiti penuh semula.

Dengan kebanyakan isu kesesakan bekalan berjaya diselesaikan, RHB Investment Bank meramalkan TPV Disember kukuh.

kami sudah mengambil kira pencapaian suku pertama 2023 yang mungkin kukuh kerana syarikat mengejar untuk memenuhi pesanan tanpa SST sebelum hujung Mac 2023. Sebagai ringkasan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan TIV 2022 sebanyak 630,000 unit dan 2023 berjumlah 636,000 unit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 7:00 AM