BERNAMA

Melaka: Kerajaan negeri Melaka mengumumkan insentif keseluruhan sebanyak RM25,000 atas kejayaan Raja Pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan mencipta rekod baru temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Sarawak.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata jumlah itu termasuk imbuhan RM10,000 atas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan 18 tahun acara 100 meter lelaki.

"Insentif itu sebagai penghargaan, sokongan dan dorongan kerajaan negeri kerana berjaya mengharumkan nama Melaka selain mencipta satu rekod baru acara 100 meter.

"Kami anggarkan Khairul Hafiz akan menerima insentif kira-kira RM25,000 dari kerajaan negeri atas kejayaan meraih pingat emas dan memecah rekod kebangsaan serta memperbaharui rekod Sukma," katanya pada majlis sambutan Atlet Sukma Kontinjen Melaka dari Sarawak di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, hari ini.

Kira-kira 2,000 orang awam, kakitangan kerajaan, ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri Melaka dan anggota keluarga atlet yang menyertai pertandingan berkenaan hadir menyambut kepulangan mereka.

Kejayaan anak kelahiran Melaka itu merakam masa 10.18 saat memadam rekod terdahulu, 10.30 saat yang dicipta bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek dari Sarawak pada 1998.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kota Tinggi itu yang dinobat Olahragawan Sukma turut memperbaharui rekod Sukma dalam acara 200 meter (21.03 saat), 4x100 meter (39.89 saat) dan 4x400 meter (3 minit 12.66 saat) bersama kuartet Melaka.

Idris berkata selain insentif kejayaan memecah rekod kebangsaan kerajaan negeri turut mengumumkan insentif RM5,000 kerana berjaya memperbaharui rekod Sukma, pingat emas (RM5,000), perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,000).

Beliau berkata Khairul Hafiz dilihat mampu mencipta nama lebih tinggi dalam sukan olahraga sekiranya beliau mengikuti latihan dan konsisten dalam setiap kejohanan disertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 10:38 PM