MENTERI Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) bersama Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Datuk Rosol Wahid (dua kanan) pada sidang media majlis Aidilfiti Unit Komunikasi Terengganu (UKOM) di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu. FOTO Syafiq Ambak
MENTERI Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) bersama Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Datuk Rosol Wahid (dua kanan) pada sidang media majlis Aidilfiti Unit Komunikasi Terengganu (UKOM) di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu. FOTO Syafiq Ambak
Isma Ismail


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan RISDA untuk melaksanakan penanaman pokok ketum bagi tujuan eksport sekiranya dibuat mengikut saluran yang betul dan diyakini tidak disalahgunakan.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri melalui pelaksanaan ECER ketika ini sudah mempunyai dua projek herba yang dijalankan secara penswastaan di Pasir Raja, Dungun dan Kuala Berang.

Menurutnya, kerajaan negeri bersedia sekiranya mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun menerusi RISDA serta tidak mendatangkan masalah terutamanya berkaitan dengan penagihannya kerana disalahgunakan.

"Saya yakin sekiranya penanamannya dilakukan oleh sebuah organisasi tentunya akan mampu dikawal daripada disalahgunakan pihak tertentu.

"Kita lihat bagaimana RISDA mampu menyakinkan kerajaan mengenai kaedah akan dilaksanakannya," katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan RISDA menanam pokok ketum bagi memenuhi permintaan luar negara untuk kegunaan bidang perubatan sekali gus tingkat pendapatan pekebun kecil getah.

Beliau ditemui ketika hadir ke majlis Aidilfitri Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 3:49 PM