Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mungkin akan menjadikan ketum sebagai sumber pendapatan tambahan pekebun kecil sekiranya Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran mengeksport tumbuhan itu ke luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada keputusan kerajaan berikutan ia kini masih dalam perbincangan pelbagai agensi.

"Suatu hari nanti kerajaan akan membuat keputusan mengenai perkara ini, kajian sudah dibuat di seluruh dunia, kebanyakan negara sudah ada kajian bagaimana ketum boleh digunakan dalam bidang perubatan.

"Tapi saya ingat biarlah itu diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), banyak agensi sedang berbincang termasuk pihak keselamatan dan kerajaan negeri, cuma apabila sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan yang (diharap) positiflah kepada ketum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Risda Prihatin Pekebun Makmur Tahun 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Ali Sabuddin Abd Samad.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mencadangkan Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand.

MAHDZIR ketika berucap pada  Majlis RISDA Prihatin Pekebun Makmur Tahun 2022 di Dewan Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
MAHDZIR ketika berucap pada Majlis RISDA Prihatin Pekebun Makmur Tahun 2022 di Dewan Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menegaskan kementeriannya tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand.

Beliau dilapor berkata, perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, ketika ini ketum mendapat permintaan tinggi dengan harga yang juga tinggi.

"Sekiranya sudah diluluskan untuk eksport dengan harga yang berpuluh ringgit sekilogram, kenapa tidak kan... boleh tambah pendapatan peserta.

"Dulu memang Risda pernah suarakan perkara ini tapi kerajaan tolak waktu itu, kalau lepas ini eksport ketum dibenarkan, Risda boleh masuk.

Ketika ini terdapat seramai 552,000 pekebun kecil di seluruh negara yang mengusahakan tanaman getah seluas 1.1 juta hektar.

Pada Julai 2016, Risda juga pernah merancang mendapatkan kebenaran kerajaan menanam pokok ketum bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini.

Bagaimanapun, kerajaan menolak cadangan Risda itu selepas mendapati mudaratnya lebih besar berbanding manfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 1:42 PM