DAUN ketum. FOTO Arkib NSTP
DAUN ketum. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Penduduk luar bandar terutama di kawasan pedalaman di negeri ini akan menjana sumber pendapatan baharu sekiranya cadangan mengeksport ketum ke luar negara diluluskan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, tanaman itu boleh diusahakan oleh penduduk yang mempunyai tanah kerana ia sangat mudah dijaga dengan modal yang kecil selain boleh dituai secara berkala.

"Justeru hasrat kerajaan negeri untuk mengkomersialkan penanaman ketum wajar disambut dengan baik. Tumbuhan ini boleh tumbuh seperti lalang di mana-mana tanpa baja dan tidak perlu disiram dengan kerap.

"Bagaimanapun, penanaman dan penjualan ketum itu perlu mengikut akta dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika membuat ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah itu berkata, bekalan daun ketum mendapat permintaan tinggi daripada syarikat farmasi Amerika Syarikat dan Eropah kerana ia digunakan dengan meluas dalam industri farmaseukital.

Katanya, perusahaan ketum di Kalimantan, Indonesia pula menjana RM10 juta sebulan hasil eksport ketum ke negara Eropah.

"Sumber Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyatakan jika kerajaan membenarkan penanaman ketum secara terkawal, dijangkakan perusahaan ini akan dapat membantu 600,000 usahawan pekebun kecil termasuk di Kedah.

"Pekebun kecil dijangka akan mendapat purata pendapatan RM1,000 sebulan bagi setiap 10 pokok ketum," jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan kementeriannya tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand.

Beliau berkata, perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 2:31 PM