PENGERUSI RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (kiri) di sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Pengerusi Risda bersama Pemaju Masyarakat Risda (PMR) dan Pegawai Seranta (PSR) Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Risda Negeri Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENGERUSI RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (kiri) di sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Pengerusi Risda bersama Pemaju Masyarakat Risda (PMR) dan Pegawai Seranta (PSR) Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Risda Negeri Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sejenis tanaman herba dikenali sebagai Guarana akan dikomersialkan di negara ini bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil berikutan kejatuhan harga getah pada masa ini.

Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya sudah berbincang dengan sebuah syarikat di Pulau Pinang untuk menjadikan tanaman herba berasal dari Brazil berkenaan sebagai tanaman sampingan selain getah.

Menurutnya, beliau menjangkakan tanaman itu mampu memberi hasil lumayan kepada pekebun kecil berikutan setiap pokok mampu mengeluarkan hasil dalam bentuk bijian.

"Tanaman ini khusus untuk kesihatan dan mempunyai khasiat tersendiri. Justeru, kita akan mengkomersialkan tanaman ini menjelang akhir tahun ini.

"Setakat ini, kita masih menunggu syarikat terbabit membuat tempahan benih dari Brazil untuk ditanam di tapak semaian di Pulau Pinang, malah kita akan tengok daripada segi keupayaan mereka untuk mendapatkan benih," katanya.

Sebelum ini, RISDA memohon kebenaran untuk mengkomersialkan tanaman ketum di negara ini bagi membantu ekonomi pekebun kecil tetapi permohonan agensi terbabit ditolak oleh kerajaan kerana didapati lebih banyak membawa kemudaratan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 2:22 PM