Dr Amir Hamzah Abdul Latiff (Perunding Kanak-Kanak dan Perunding Imunologi Klinikal/Alergi)

Ungkapan ‘Anda adalah apa yang anda makan’ rupanya tidak benar dalam semua situasi. Sebagai contoh, ada banyak jenis makanan yang menyebabkan reaksi berbeza terutama jika seseorang itu sensitif atau alah kepada makanan tertentu.

Semakin ramai rakyat Malaysia yang mengetahui mengenai alahan selepas mengalaminya. Peningkatan bilangan jenis alahan dan mereka yang menderita akibatnya mungkin disebabkan

oleh kesedaran lebih meluas atau mungkin ia hanya kerana ‘epidemik alahan’ yang sedang melanda dunia.

Tidak kira apa puncanya, hampir 60 peratus daripada semua alahan cenderung timbul dalam tahun pertama kehidupan dengan anggaran satu bagi setiap tiga orang kanak-kanak menghidapi alahan.

Tahukah anda?

Masalah utama alahan boleh timbul dalam beberapa bentuk, contohnya ekzema atopi atau dermatitis, alahan rinitis, alahan asma.

Malah, hampir semua bahan boleh menjadi alergen (bahan yang menyebabkan alahan) - beberapa alergen lazim termasuk habuk, debu bunga, kulapuk, bulu haiwan dan juga makanan tertentu.

Alahan makanan vs intolerans makanan

Alahan makanan ialah tindak balas sistem imun terhadap makanan tertentu, seperti makanan bercengkerang (contohnya ketam, udang, udang karang), kacang tanah, putih telur, ikan, atau susu lembu.

Tindak balas terbabit termasuk muntah dan/atau kejang perut, gatal, sesak nafas secara tiba-tiba, berdehit atau batuk berulang, kesukaran menelan, denyutan jantung lemah, rasa pening atau mual. Dalam kes yang teruk, kejutan anafilaksis boleh berlaku, ia suatu keadaan yang boleh membawa maut apabila tubuh mengalami kejutan dan beberapa simptom boleh berlaku secara serentak.

Sebaliknya, intolerans makanan ialah tindak balas sistem penghadaman, iaitu perkara yang berlaku apabila tubuh anak anda mengalami kesukaran menghadam makanan yang diambil.

Walaupun pada mulanya ia agak mengelirukan kerana kedua-duanya mempunyai simptom yang hampir sama - oleh kerana intolerans makanan berkait rapat dengan sistem penghadaman anak anda, simptom yang dilihat juga lebih berkait dengannya. Contohnya mual, sakit perut atau ketidakselesaan, cirit-birit, muntah atau kembung perut. Dia juga mungkin mengalami simptom lain seperti pedih ulu hati, sakit kepala, kerengsaan atau berasa resah.

Sekiranya anda mengesyaki anak anda menghidap sebarang alahan makanan atau ketidaktoleran makanan, pastikan anda berjumpa dengan seorang pakar kanak-kanak dahulu. Kemungkinan besar ia hanyalah fasa sementara, dan mengelakkan makanan yang anda syak menyebabkan alahan atau intolerans makanan akan menafikan anak anda kepada kebaikan pemakanan yang dia boleh peroleh daripada makanan berkenaan.

Awasi perkembangannya

Oleh kerana tidak terdapat ujian yang boleh mengesan secara konklusif sama ada anak anda intolerans kepada sesuatu, satu kaedah lama yang masih kekal sebagai cara terbaik iaitu pemerhatian dan kajian saintifik - ini dapat dilakukan dengan menyimpan diari makanan. Perkara utama yang anda perlu awasi ialah:

a) Apakah makanan yang anda beri kepada anak anda

b) Bila dan sukatan yang diberi

c) Simptom yang timbul, jika ada.

Diari makanan

Diari makanan ialah cara terbaik untuk mengesan jika terdapat makanan yang boleh menyebabkan anak anda sakit. Malah, jika anda mengesyaki anda juga menghidap intolerans makanan, mungkin anda boleh cuba cara ini untuk mengesan punca yang membuat anda sakit atau kembung perut!

Diari makanan ini perlu digunakan sehingga makanan yang menyebabkan simptom itu dikenal pasti. Tapi ingat, diari makanan hanya berguna jika diisi dengan tepat, oleh itu, rekod perlu disimpan selama sekurang-kurangnya dua minggu untuk mengenalpasti sebarang corak atau simptom yang sama.

Pastikan juga diet anak anda kekal berkhasiat, anda tidak perlu mengelakkan sebarang makanan atau kumpulan makanan bagi tempoh yang lama. Jika sesuatu makanan atau kumpulan makanan perlu dielakkan, dapatkan nasihat pakar pemakanan untuk menentukan strategi terbaik bagi mengatasi masalah intolerans ini.

*Artikel ini ialah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Artikel ini juga disokong oleh geran pendidikan daripada Vitagen. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 12:48 PM