ALERGI makanan sering sebabkan simptom dalam tempoh dua jam selepas dimakan.
ALERGI makanan sering sebabkan simptom dalam tempoh dua jam selepas dimakan.

Pada dasarnya, makanan alergenik ialah makanan yang diketahui menjadi punca alergi atau alahan dalam kalangan sesetengah individu. Alergi makanan adalah tindak balas sistem imun terhadap kehadiran jenis makanan yang khusus.

Ia berbeza daripada intolerans makanan, iaitu satu tindak balas sistem penghadaman (contohnya apa yang terjadi apabila tubuh anak anda menghadapi kesukaran menghadam makanan).

Ada lapan jenis makanan alergenik yang utama iaitu:

- Telur

- Susu

- Ikan

- Makanan bercangkerang

- Kacang pokok

- Kacang tanah

- Gandum

- Kacang soya

MENGENALI ALERGI MAKANAN

Amnya, gejala yang berkaitan soal alergi makanan sukar untuk dikaitkan dengan sesuatu makanan. Antara gejala alergi makanan yang lazim termasuk:

- Geligata

- Kulit merah atau ruam

- Mulut terasa berdenyut-denyut atau gatal

- Bengkak muka, lidah atau bibir

- Muntah-muntah dan/atau cirit-birit

- Kejang abdomen

- Batuk atau nafas berdehit

- Pening atau pening lalat

- Bengkak kerongkong dan pita suara

- Sukar bernafas

- Pitam

Oleh kerana anak kecil mungkin tidak tahu cara meluahkan jenis simptom yang mereka alami dengan terperinci, anak anda mungkin menggunakan perkataan seperti ‘Mulut saya rasa sakit/berdenyut-denyut/kebas’. Apa yang penting adalah untuk sentiasa berwaspada dengan sebarang tanda cemas yang mungkin menjadi indikasi atau petunjuk kepada tindak balas alergi.

Walaupun alergi makanan boleh menjadi serius, ada langkah yang anda boleh ambil untuk mengatasi keadaan ini. Sebaik saja anda mengesyaki anak mengalami alergi makanan, segera bawa si kecil berjumpa doktor untuk menjalani ujian diagnostik melalui ujian cucuk kulit atau ujian darah.

AMBIL PERHATIAN

Sebagai ibu bapa, antara perkara pertama yang perlu anda beri perhatian ialah ketika membeli barang makanan. Jika anak anda alah pada satu-satu jenis makanan, lebih baik cuba mengelakkan si kecil daripada terdedah kepada makanan berkenaan, terutama jika dia mengalami tindak balas teruk.

Beri lebih perhatian kepada senarai ramuan apabila pergi membeli barang runcit. Makanan alergenik utama mungkin tersenarai dengan jelas contohnya lesitin (soya), tepung (gandum) dan whey (susu). Sesetengah pengilang mungkin meletakkan kenyataan pada bungkusan untuk memberitahu bahawa produk mereka mengandungi ramuan tertentu, contohnya menyenaraikan makanan alergenik sebagai ‘perekat’ atau ‘pengemulsi’, yang bermaksud produk berkenaan mungkin dihasilkan menggunakan telur atau soya.

TAHUKAH ANDA?

Alergi makanan sering menyebabkan simptom dalam tempoh dua jam selepas dimakan, dengan sesetengah tindak balas berlaku dalam masa beberapa minit. Namun begitu, ada juga kes di mana tindak balas tertanggung sehingga enam jam atau lebih.

Ada satu lagi jenis alergi makanan yang mempunyai tindak balas lambat dikenali sebagai Sindrom Enterokolitis Cetusan Protein Makanan atau Food Protein-Induced Enterocolitis Syndrome (FPIES).

Ia adalah tindak balas gastrousus yang teruk dan lazimnya berlaku di antara dua hingga enam jam selepas mengambil susu, soya, sesetengah bijiran atau makanan pepejal tertentu. Ia biasanya terjadi dalam kalangan bayi kecil yang terdedah kepada makanan berkenaan buat pertama kalinya. FPIES boleh menyebabkan episod muntah-muntah yang berulang dan seterusnya menyebabkan dehidrasi. Sesetengah bayi juga mendapat cirit-birit berdarah.

MENGENDALIKAN ALERGI MAKANAN

Apabila anda sudah memastikan bahawa anak anda mengalami alergi makanan, perkara seterusnya yang harus dilakukan ialah mengelakkan makanan terbabit, terutamanya jika anak anda menunjukkan tindak balas yang teruk. Ambil perhatian sekiranya dia alah kepada makanan tertentu, kemungkinan dia juga alah kepada makanan lain yang berkaitan contohnya, seseorang yang alah kepada udang juga alah kepada ketam.

Jika anda hanya mengesyaki anak anda mempunyai alergi makanan, anda perlu mula membuat diari makanan. Pastikan anda menyenaraikan semua makanan yang anda beri kepada anak dan simpan juga label mana-mana produk komersial. Ini dapat membantu pakar kanak-kanak atau pakar alergi untuk memastikan sama ada anak anda betul-betul alah kepada makanan berkenaan.

Pakar kanak-kanak atau alergi akan mengambil sejarah keluarga dan sejarah perubatan yang diperlukan. Dia akan menjalankan ujian berkaitan untuk menentukan sama ada anak anda mengalami masalah alergi makanan.

BERJAUHAN DARI RUMAH

Sekiranya anda mendapati si kecil mengalami tindak balas teruk terhadap makanan tertentu, pastikan anda memberitahu sekolah dan pengasuh mengenai masalahnya. Untuk membantu, beri mereka kad kecemasan yang menerangkan cara mencegah, mengenalpasti dan mengendalikan alergi makanan yang dihidapi anak anda. -Dr Amir Hamzah Abdul Latiff (Pakar Perunding Kanak-kanak & Pakar Perunding Imunologi Klinikal/Alergi)

Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kerjasama rakan pakar Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Untuk maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 10:55 AM