POLIS menyiasat di tempat kejadian di Ansbach. - EPA
POLIS menyiasat di tempat kejadian di Ansbach. - EPA

Ansbach, Jerman: Seorang imigran warga Syria, meletupkan dirinya berhampiran satu festival muzik di selatan Jerman, menyebabkan 12 orang cedera, serangan ketiga di rantau itu dalam tempoh seminggu, kata pihak berkuasa semalam.

Penyerang berusia 27 tahun itu pernah mendapatkan rawatan di hospital sakit jiwa tetapi pihak berkuasa berkata, serangan di Ansbach pada malam kelmarin berkemungkinan bermotifkan pelampau Islam.

Jerman masih terkejut selepas sembilan orang maut dalam kejadian tembakan di Munich pada Jumaat lalu dan empat orang cedera dalam serangan menggunakan kapak di dalam kereta api di Wuerzburg pada 18 Julai lalu.

“Kerajaan terkejut dengan kejadian yang berlaku sepanjang minggu ini,” kata jurucakap kerajaan, Ulrike Demmer semalam.

Semua tiga serangan berlaku di Bavaria, pintu masuk untuk puluhan ribu pelarian di bawah dasar perlindungan pelarian Canselor Angela Merkel.

Polis berkata, lelaki itu menyasarkan festival terbuka tetapi dia tidak dibenarkan memasuki kawasan konsert kerana tidak mempunyai tiket sebelum dia meletupkan dirinya di kafe berhampiran.

Jurucakap polis berkata, penyerang itu maut dalam serangan berkenaan dan 12 lagi mangsa cedera dengan tiga kritikal.

Kejadian berlaku di tengah Ansbach, tidak jauh dari satu konsert yang dihadiri kira-kira 2,500 pengunjung. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 7:26 AM