POLIS berdiri di luar kereta api terbabit. - Agensi
POLIS berdiri di luar kereta api terbabit. - Agensi
AFP

Berlin: Seorang remaja pelarian Afghanistan berusia 17 tahun ditembak mati selepas menyerang penumpang kereta api dengan kapak dan pisau, lewat Isnin, dalam serangan diakui dilakukan Daish.

Menteri dalam negeri Bavaria, Joachim Herrmann berkata, bendera Daish yang dilukis dengan tangan antara barangan yang ditemui di dalam bilik remaja itu yang menyerang empat sekeluarga yang juga pelancong Hong Kong hingga parah dan mencederakan beberapa lagi di dalam sebuah kereta api di bandar Wuerzburg.

Remaja itu ditembak mati oleh polis ketika cuba melarikan diri. Laporan awal mengatakan dia ditembak selepas menyerang polis ketika lari.

Terdahulu, Herrmann berkata, penyerang itu tiba di Jerman berseorangan dan tinggal di tempat perlindungan pelarian sebelum menetap bersama keluarga angkat di Ochsenfurt.

Menurutnya, remaja itu dipercayai bertindak sendirian, namun Daish mengaku bertanggungjawab dalam agensi beritanya, Amaq.

Serangan berlaku kira-kira jam 9.15 malam kelmarin di dalam sebuah kereta api yang dalam perjalanan antara Treuchlingen dan Wuerzburg di Bavaria. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 7:34 AM