KREATIVITI dalam susun letak setiap elemen hiasan gaya Inggeris di ruang dapur.
KREATIVITI dalam susun letak setiap elemen hiasan gaya Inggeris di ruang dapur.
TERJEMAHAN gaya Inggeris mengikut cita rasa Suzana dan keluarga.
TERJEMAHAN gaya Inggeris mengikut cita rasa Suzana dan keluarga.
Hartini Mohd Nawi


Minat dan kecintaan terhadap bunga-bungaan turut memberi tempias kepada dekorasi kediamannya.

Dari laman hingga ruang dalaman, kekuatan elemen hiasan utama itu membawa makna tersendiri buat Suzana Abu Sari, 43.

Beliau sudah maklum elemen itu berkait rapat dengan konsep Inggeris.

Namun, itu semua bukan halangan kerana konsep itu digemarinya sejak dulu.

“Ubah suai macam mana sekali pun, gaya Inggeris tetap menjadi pilihan saya. Dalam konsep ini segalanya digabungkan daripada aura warna lembut termasuk merah jambu dan putih hingga motif bungaan-bungaan seperti mawar kerana bagi saya ia begitu menyegarkan suasana.

“Gaya Inggeris tetap sama di mana-mana, membezakannya ialah pilihan aksesori hiasan dan reka letak yang biasanya memerlukan kreativiti,” katanya yang ditemui di kediamannya di Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Sentiasa tampil dengan susun letak menarik perabot dan aksesori hiasan untuk setiap ruang, Suzana hakikatnya begitu menghargai anak dan suaminya, Nizamuddin Alias, 43.

“Sudah sebati dengan dekorasi bunga-bungaan ini sebenarnya mengajar kami untuk saling menghargai pandangan antara satu sama lain.

“Jika dirasakan susun atur tidak menarik, kami cuba zahirkan kelainan supaya tidak kelihatan terlalu biasa dan menjemukan,” katanya.

Tidak pelik juga jika sentiasa ada sanak saudara dan tetamu asyik merakam gambar kenangan sebaik melangkah ke ruang tamu, ruang makan dan dapur.

Bersantai di ruang tamu dengan dua bahagian diwujudkan untuk keselesaan tetamu yang bertandang serentak.

“Lebih-lebih lagi Syawal yang masih berbaki, kediaman kami menerima kunjungan.

“Bagi keselesaan dan rasa lapang, dua bahagian di ruang tamu ini tentunya membantu merealisasikan situasi itu.

“Tetamu boleh bersembang sambil menikmati juadah terhidang,” katanya.

Malah, ruang tamu di kedua-dua bahagian tampil menarik dengan perabot dan aksesori hiasan gaya Inggeris bagaikan membawa anda pengalaman berada di taman bunga.

Pada dinding pula diselang-seli dengan dekoratif hiasan seni gaya itu dengan kesegaran tersendiri.

Tidak cukup dengan itu, ruang makan juga mempunyai jalan cerita gaya Inggerisnya.

Daripada kemasan lantai hingga alas meja, semuanya tampil dalam motif bunga-bungaan.

Dekoratif jendela yang diubah suai menjadi perhiasan paling menarik itu turut beralih fungsi sebagai titik fokal di ruang itu.

Siapa yang tidak terpukau jika jendela lama diberi sentuhan cat baru dengan lakaran motif bunga mawar.

Seni keindahan dan nilai estetika bukan hanya gaya Inggeris yang cuba diterjemahkan, sebaliknya lebih dari itu.

Susun atur pelbagai aksesori hiasan pelbagai guna daripada produk kitar semula hingga elemen hiasan baru, semuanya digabungkan bersama.

Kesinambungan gaya Inggeris turut ada di ruang dapur. Pada latar dinding dan ruang tertentu, motif bunga mawar menjadi lakaran utama.

“Gaya ini mengajar saya dan keluarga lebih menghargai seni keindahan. Tata hiasnya juga tidak semudah disangka.

“Ini kerana gaya Inggeris memerlukan anda menjadi seorang pencinta dekorasi yang teliti dan peka daripada menghias hingga aspek penyelenggaraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 9:01 AM