CENDERAHATI berharga yang melengkapkan sudut ruang tamu.
CENDERAHATI berharga yang melengkapkan sudut ruang tamu.
PERHIASAN unik dari pelbagai negara.
PERHIASAN unik dari pelbagai negara.
IDEA penataan untuk ruang dapur.
IDEA penataan untuk ruang dapur.
PELBAGAI teko dengan motif dan reka bentuk berbeza.
PELBAGAI teko dengan motif dan reka bentuk berbeza.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Aksesori hiasan dari pelbagai negara menyerikan segenap ruang kediaman ini yang sarat dengan penceritaan seni serba indah serta sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Deretan pinggan yang didatangkan dengan peta, gambar atau lukisan secara jelas membuktikan tempat asal cenderahati itu diperoleh.

Begitu juga dengan teko, rumah kotej mini dan aksesori hiasan lain yang membuatkan latar kediaman teres Rozinah Baharim, 50, di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor mempunyai daya tarikan berbeza.

“Perhiasan ini sering mengimbau saat percutian kami seisi keluarga dan melaluinya sejarah serta keunikan sesebuah negara disingkap.

“Secara tidak langsung ia menjadi kenangan paling bermakna dan mengajar kita untuk menghargai nilai seni dari tempat yang berbeza.

“Apabila ia dikumpul dan diperagakan pada segenap ruang, akhirnya menzahirkan tata hias gaya Inggeris,” katanya.

Begitu juga rumah kotej mini umpamanya secara tersirat memperlihatkan nilai estetika sebagai kediaman unik dan mempunyai reka bentuk menarik.

Tidak menafikan beliau antara peminat koleksi gaya Inggeris, namun mempunyai cara tersendiri dalam menampilkan setiap perhiasan di kediamannya.

Daripada aksesori hiasan meja hingga penataan dinding, semuanya direka letak dengan teliti dan memberikan pandangan eksklusif serta luar biasa.

“Saya lebih gemarkan motif bunga-bungaan yang tak terlalu sarat. Memadai dengan sekuntum mawar yang menyerikan teko hiasan.

“Gaya Inggeris pada kediaman saya lebih kepada himpunan perhiasan unik yang jarang ditemui dan ada nilai sentimentalnya tersendiri,” katanya.

Ini juga tidak bermakna dekorasi gaya Inggeris dianggap lapuk, biasa-biasa saja atau dipandang remeh.

“Sesiapa pun yang menggemari penataan gaya Inggeris pasti tidak mahu idea atau sentuhan seni pada ruang yang diketengahkan menyamai kediaman orang lain.

“Konsepnya sama, namun gaya tatahias jauh berbeza apabila kreativiti menjadi keutamaan hingga membuatkan ruang sedap mata memandang,” katanya.

Dalam mempelbagaikan koleksi perhiasan Rozinah berkata, latar dinding ruang tamu dihiasi dengan cendehati dari Singapura.

Pinggan hiasan dari pelbagai negara juga tidak hanya menyerikan kabinet, malah turut digantung pada dinding dan bahagian berhampiran siling.

“Justeru, memiliki aksesori unik ini membuatkan kita lebih teliti untuk mengekalkan keindahan dan keunikannya,” katanya.

“Bagi menzahirkan suasana berbeza, susun letak semua aksesori hiasan itu juga sering diubah kedudukannya dalam usaha mengelakkan ia sekadar pandangan biasa.

Menariknya, kreativiti dan perancangan teliti baginya penting bagi mengelakkan suasana di segenap ruang kelihatan berserabut atau menyakitkan pandangan mata.

Ini kerana aksesori gaya Inggeris banyak membabitkan koleksi mini yang eksklusif reka bentuknya.

“Kesibukan tugas ada kalanya memerlukan kita memiliki ruang kediaman sempurna lengkap dengan gaya penataan pilihan supaya fikiran tenang dan lapang sebaik pulang ke rumah.

“Apatah lagi, penataan setiap ruang menggambarkan gaya hidup penghuninya dan pada masa sama menuntut kekemasan serta kebersihan sepanjang masa,” katanya.

Ketika menjenguk ruang dapur basah, dekoratif unik deretan teko dan set hidangan minum petang disusun selari berlatarkan dinding batu-bata.

Sementara itu, ruang dapur juga tidak kurang menarik dengan penataan gaya Inggeris.

Bagi Rozinah, rutin mengemas ruang dan membersihkan perabot dan aksesori hiasan perlu dilakukan setiap hari.

“Setiap hari, tugas mengemas menjadi rutin biasa saya sebelum keluar bekerja,” kata kakitangan kerajaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:01 AM