Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Membesar dengan komik, siri televisyen serta filem bercorak fiksyen sains membuatkan ramai golongan dewasa umpama lupa diri apabila berpeluang berbicara mengenai watak yang menjadi idola sejak kecil.

Masing-masing mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila berbicara mengenai watak berkenaan walaupun menyedari ia sekadar imaginasi semata-mata.

Namun, itu bukan penghalang buat mereka memupuk hobi mengumpul watak terbabit secara menyimpan koleksi miniatur, replika atau pakaian berkaitan watak cerita komik, siri televisyen dan filem berkenaan.

Justeru tidak hairan apabila terdapat ramai peminat watak Kamen Rider, Star Wars, GI Joe, Transformers, Lego, Gundam, Super Sentai/Power Rangers, Marvel, Ultraman, Dragonball, Iron Man, Spider Man, di samping replika kerdil kereta api, jet pejuang, kereta kebal, motosikal dan kereta lumba.

Minat dan hobi yang dipupuk bukan setakat memenuhi kepuasan diri, malah mampu diperkembangkan kepada perniagaan kecil-kecilan.

Di Malaysia, golongan yang berkongsi minat terhadap miniatur ini bukan sedikit, malah mencapai ribuan pengikut di seluruh negara.

Hakikat itu terbukti apabila lebih 5,000 peminatnya membanjiri pameran koleksi mainan, Kelab Acara Pengumpul Mainan Kuala Lumpur 4 (CTFKL4) di Menara TM, Jalan Bangsar Baru di sini, semalam.

Acara berlangsung mulai jam 10 pagi hingga 6 petang itu menarik penyertaan 400 pemilik koleksi termasuk 26 kelab hobi dan mainan dari seluruh negara.

Pengunjung, Muhammad Ee Nasarudin, 30, dari Kota Bharu, Kelantan sanggup menanti selama 25 jam bagi membolehkannya menjadi pengunjung pertama memasuki ruang pameran CTFKL4.

“Saya sudah sampai di Kuala Lumpur lebih awal sebelum bergerak ke lokasi pameran selepas subuh pada pagi Jumaat.

“Apabila tiba di situ, saya merupakan individu pertama yang tiba untuk acara ini.

“Berkat kesabaran ini, saya memenangi replika Mega Action Series Mas 01 Optimus Prime dan saya mengikuti acara ini sejak siri kedua lagi,” katanya kepada Metro Ahad.

Mengikuti jejak sama, Rian Ediwanshah Tamrin, 30, bersama isterinya Nor Cahaya Abdillah, 30, dari Tenom, Sabah menunggu selama 24 jam selain berkhemah di ruang hadapan pintu masuk bagi membolehkan mereka memenangi hadiah replika pedang Starwars, Mace Windu Purple Force Fx Lightsaber.

Ketika ditemui, Rian berkata, dia sanggup mengambil cuti seminggu bagi membolehkannya menyertai acara tahun ini.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai acara ini dan saya cukup bersemangat kerana dapat berjumpa dengan rakan lain yang mempunyai minat sama.

“Saya mempunyai pelbagai koleksi replika seperti Marvel, Transformers dan Starwars teruja melihat semua mainan itu yang dijual pada hari ini,” katanya.

Penganjur acara berkenaan, Wan Muhammad Aznan Wan Azmi, mengambil inisiatif pertama mengumpulkan rakan yang mempunyai minat sama tanpa membabitkan mana–mana syarikat mainan sejak 2012 lagi.

“Disebabkan tiada pihak yang menganjur, saya tekad mempromosi pertemuan ini menerusi Internet, terutama laman sosial Facebook.

“Pertemuan ini bukan setakat menjadi medan bertukar pengalaman dan berkongsi minat sama dengan rakan, malah menjadi medan jual beli koleksi atau peniaga yang menawarkan produk kepada peminat,” katanya yang juga pensyarah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

Katanya, kebanyakan koleksi dimiliki peminat miniatur terbabit bernilai tinggi dan ia bukan mainan sesuai buat kanak-kanak sesetengah pemilik koleksi tidak membenarkan anak sendiri menyentuh koleksi berharga itu sesuka hati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:15 AM
KOLEKSI mainan yang dipamirkan di CTFKL4, semalam.
KOLEKSI mainan yang dipamirkan di CTFKL4, semalam.
WAN Lutfan Dain Wan Faiza melihat koleksi mainan pada CTFKL4.
WAN Lutfan Dain Wan Faiza melihat koleksi mainan pada CTFKL4.