ATLET Melaka  ceria selepas majlis penyerahan bendera di  di Masjid Tanah. FOTO Nazri Abu Bakar
ATLET Melaka ceria selepas majlis penyerahan bendera di di Masjid Tanah. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kontinjen Melaka menyasarkan membawa pulang 12 pingat emas pada Kejohanan Para Sukan Malaysia XX (Para Sukma XX) dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 6 November depan di Kuala Lumpur.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, kontinjen Negeri Melaka menghantar 96 atlet dalam kejohanan berprestij terbabit.

Menurutnya, Melaka bakal menyertai lapan acara membabitkan badminton, olahraga, powerlifting, renang, tenpin boling, catur, boling padang dan ping pong.

Katanya, antara sukan berpontensi meraih emas membabitkan sasaran lima emas dalam acara renang, masing-masing dua emas tenpin boling dan catur selain satu emas dalam acara badminton, olahraga dan ping pong.

"Dengan perancangan dan persiapan rapi usaha berkenaan mampu direalisasikan menerusi kesungguhan dan tekad atlet serta peranan jurulatih dan pegawai masing-masing.

"Selain itu Melaka turut mengintai 11 perak dan 14 gangsa dengan keseluruhan pingat yang disasar membabitkan 37 pingat," katanya selepas majlis penyerahan bendera oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada kontinjen berkenaan di Masjid Tanah semalam.

Sementara itu, pengurus olahraga Mohd Eirwan Halim berkata, sasaran pingat satu emas amat relevan menerusi pengalaman atlet terpilih.

Malah penyertaan bekas atlet Para Sukan Sea dalam acara lontar peluru Mohd Zikri Zakaria dan wakil negara dalam Sukan Para Rio 2016 dalam acara 400m, H Krisnakumar mampu menjadi bekalan terbaik Melaka untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Baginya, kembalinya semula Krisnakumar selepas terpaksa berehat panjang akibat penyakit dalam perut kini amat menggembirakan kontinjen berkenaan berdasarkan rekod pencapaian lalu.

Mohd Zikri berkata, apapun usaha dan fokus tinggi terarah dalam kejohanan sebenar kelak kerana saingan tetap sengit daripada kontinjen lain yang bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 2:23 PM