USAHAKAN memilih jadual penerbangan sama dengan waktu tidur siang atau malam bayi.
USAHAKAN memilih jadual penerbangan sama dengan waktu tidur siang atau malam bayi.
Suliati Asri


Bercuti bersama anak kecil di destinasi percutian idaman pastinya cukup mengujakan. Maklum saja dengan telatahnya yang comel, ia cukup membahagiakan.

Namun, saat membawa bayi bercuti ke destinasi yang memerlukan anda menaiki pesawat ada kesulitan tersendiri dan pelbagai perkara perlu diberi perhatian.

Antaranya, risau dia meragam atau sukar tidur ketika dalam perjalanan dan banyak lagi.

Justeru, bagi anda terutama yang pertama kali membawa bayi bercuti menaiki pesawat, ketahui kesalahan yang sering dilakukan ibu bapa supaya anda boleh menghindarinya, sekali gus menjadikan perjalanan ke destinasi percutian lebih menyenangkan.

Tidak tahu cara membawa susu ibu perahan ke dalam pesawat

Membawa susu ibu perahan antara pilihan saat membawa anak menaiki pesawat. Namun, ia sering menjadi masalah kerana tidak tahu cara betul.

Untuk penerbangan nasional, anda boleh membawa susu perahan di dalam bekas khas. Namun, anda perlu memastikan bekas penyimpanan itu selamat dan tidak tumpah.

Jika perlu melakukan penerbangan jauh, anda boleh meminta pramugari penerbangan menyimpannya di dalam peti ais pesawat.

Salah memilih jadual penerbangan

Biasanya anda mempertimbangkan harga tambang ketika memilih jadual penerbangan. Namun, kini untuk membeli tiket penerbangan, jadual tidur si bayi satu keutamaan.

Pastikan jadual penerbangan sama dengan waktu tidur siang atau malam bayi.

Ini akan membantunya cepat lelap di dalam pesawat. Selain itu, gunakan pakaian selesa dan mungkin pakaian tidur agar dia boleh tidur nyenyak. Ini akan memberi rangsangan pada anak untuk terlelap di pesawat.

Memaksa anak tidur

Jika si kecil tidak boleh tidur sepanjang perjalanan, sebenarnya anda tidak perlu memaksanya. Ruang sempit dan situasi pesawat yang tidak selesa pasti menyulitkannya untuk tidur.

Menyediakan selimut, mainan serta barang kesayangannya akan membantu anak sentiasa tenang di dalam pesawat. Berjalan-jalan sejenak di kabin pesawat juga boleh menjadi pilihan untuk membuat­kannya tenang.

Tidak meminta bantuan pramugari untuk keselamatan bayi

Sebenarnya, anda tidak perlu segan bertanya perihal keselamatan bayi ketika di dalam pesawat termasuk ketika pemasangan tali ping­gang keselamatan.

Memangku anak bukan bererti anda akan selamat di pesawat. Minta penjelasan daripada pramugari bertugas mengenai tindakan perlu dilakukan ketika saat kecemasan jika membawa bayi.

Ketika kadar oksigen di kabin menurun, misalnya anda perlu pastikan diri sendiri selamat sebelum menyelamatkan anak. Cari pelbagai tip dan cara betul untuk memastikan anda dan bayi selesa serta selamat sepanjang penerbangan ke destinasi percutian yang dituju.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 12:56 PM