BAWA bersama ubatan dan vitamin sepanjang bercuti untuk mengelak membelinya di destinasi apabila tidak sihat.
BAWA bersama ubatan dan vitamin sepanjang bercuti untuk mengelak membelinya di destinasi apabila tidak sihat.
Susunan Suliati Asri


Peruntukan untuk tiket penerbangan, pengangkutan, penginapan dan keperluan lainnya antara yang sentiasa dititikberatkan dalam membuat belanjawan bercuti terutama ke luar negara.

Namun, ada juga perbelanjaan lain yang walaupun dengan jumlah kecil, tetapi boleh menjadi terlebih belanja.

Untuk sentiasa mempunyai wang belanja yang mencukupi saat bercuti di luar negara, jom manfaatkan langkah penjimatan yang disenaraikan dalam ruangan Tip Melancong minggu ini. Selamat bercuti!

Sediakan wang untuk bercuti

Perkara paling penting dalam perancangan kewangan ketika bercuti adalah dengan membuat bajet percutian sebelum berangkat ke destinasi.

Sediakan duit secukupnya. Elak dari meminjam wang untuk bercuti kerana ia menyusahkan anda selepas pulang nanti.

Menabung atau mengasingkan wang khusus untuk bercuti dari gaji yang diperoleh tiap bulan adalah langkah terbaik boleh dilakukan.

Elak mengeluarkan wang atau berbelanja di lapangan terbang

Seboleh-bolehnya, jangan berbelanja atau menukar mata wang asing di lapangan terbang.

Harga barangan di lapangan terbang biasanya lebih mahal.

Tukaran mata wang asing di lapangan terbang juga biasanya agak rendah berbanding di luar sekali gus membuatkan anda rugi dan mengurangkan bajet wang perbelanjaan anda ketika bercuti.

Gunakan kad kredit secara berhemah

Menggunakan kad kredit dalam berbelanja ketika bercuti berbanding tunai atau kad debit adalah lebih baik.

Selain lebih selamat, ia juga memudahkan transaksi dalam segala perbelanjaan.

Namun, saranan ini hanya bermanfaat atau menguntungakan bagi pengguna kad kredit yang berdisiplin membuat pembayaran setiap bulan dan tidak berbelanja sewenang-wenangnya kerana lebih mudah berbelanja menggunakan kad kredit.

Tidak perlu SIM kad baru

Jika keadaan tidak begitu mendesak, hindari membeli kad SIM baru di negara yang dikunjungi dalam hanya beberapa hari.

Ini kerana dengan membeli kad SIM, anda pastinya kerap membuat panggilan telefon sekali gus menuntut anda sentiasa membuat isian semula kredit.

Memadai jika anda dapat mengirim pesanan atau membuat panggilan menggunakan Internet dengan memanfaatkan penggunaan WiFi yang sememangnya digunakan berleluasa di mana-mana tempat.

Bawa ubat-ubatan sendiri

Walaupun anda sihat sebelum pergi bercuti, bawalah ubat-ubatan serta vitamin sendiri untuk kecemasan.

Ini kerana dengan suasana baru di destinasi yang dituju, ada kalanya badan tidak boleh menerima perubahan tertentu dan boleh membuatkan anda tidak sihat.

Ubat-ubatan dan vitamin di kawasan kunjungan pelancong biasanya dijual dengan harga yang mahal.

Jadi, untuk menjimatkan wang anda sepanjang bercuti terutama di luar negara dengan kadar tukaran wang asing yang tinggi, bawalah ubat-ubatan serta vitamin anda sendiri.

Gunakan pakaian berlapis

Kesejukan saat bersiar-siar di luar negara yang mempunyai cuaca dingin mengundang membeli pakaian.

Anda secara tidak langsung akan berbelanja kepada benda yang tidak dirancang atau tidak ada dalam senarai.

Oleh itu, bagi mengelak anda membeli pakaian baru kerana kesejukan, pakailah pakaian berlapis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 1:46 PM