ANGGOTA Hazmat membersihkan tumpahan bahan kimia akibat kemalangan lori. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Hazmat membersihkan tumpahan bahan kimia akibat kemalangan lori. FOTO ihsan Bomba
LORI yang terbalik menyebabkan tong asid sulfurik tertumpah. FOTO ihsan Bomba
LORI yang terbalik menyebabkan tong asid sulfurik tertumpah. FOTO ihsan Bomba
Azahar Hashim


Kulim: Sepuluh tong mengandungi asid sulfirik tumpah selepas lori membawa muatan bahan kimia terbabit terbalik dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Kuchai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi, tiga sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) cedera selepas satu tong terkena cermin kereta menyebabkannya pecah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata,

kejadian berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan ketika membelok ke kanan dari Jalan Perusahaan ke Jalan Paya Besar lalu terbalik.

Katanya, ketika itu terdapat MPV dinaiki keluarga berkenaan di persimpangan berkenaan kerana menunggu lampu hijau.

"Pemandu lori berkenaan bersama tiga sekeluarga yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.09 pagi sebelum 18 anggota bersama dua jentera t termasuk dari BBP Kulim dikejarkan ke lokasi.

"Pemeriksaan mendapati kira-kira 10 buah tong mengalami kebocoran dan anggota bomba menjalankan kerja pembersihan di lokasi termasuk memindahkan tong ke kawasan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 3:53 PM