FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Dua daripada tiga Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar dan Sungai Johor di Kota Tinggi yang ditutup sementara operasinya kira-kira 24 jam lalu akibat pencemaran amonia di Sungai Johor sudah beroperasi semula jam 5 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ, Jamaluddin Jamil berkata, pengoperasian semula loji itu membolehkan kira-kira 120,000 pemilik akaun SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) atau 600,000 pengguna di daerah ini yang mengalami gangguan bekalan air sejak semalam menikmati kemudahan asas itu secara berperingkat.

"Sekarang ini kami dalam fasa pemulihan dan akan mengambil sedikit masa untuk memulihkan bekalan air di daerah ini.

"Ini kerana ada tangki yang kosong dan keadaan ini mengambil masa untuk dipenuhkan, selain pemulihan secara berperingkat-peringkat," katanya dihubungi di sini, sebentar tadi.

Katanya, pihaknya juga sudah membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab mengenai pencemaran aminia di Sungai Johor.

Katanya, satu lagi LRA Tai Hong kendalian Public Utilities Board (PUB) di Kota Tinggi masih ditutup operasinya dan masalah gangguan air dijangka dapat diatasi sehingga Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 11:58 AM