Baghdad: Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi secara terbuka merayu kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel supaya negara kuasa besar itu melakukan lebih banyak serangan ke atas kedudukan militan Negara Islam (IS).

Turut diperlukan Iraq, kata Haider, ialah lebih banyak senjata untuk mempertahankan negara itu.

“Tentera Iraq mencapai banyak kejayaan di medan perang, tetapi mereka perlukan sokongan daripada serangan udara Barat dan lebih banyak senjata berat.

“Kami memang perlukan bantuan begitu,” katanya di permulaan pertemuan dengan Hagel semalam.

Permintaan Haider itu menjelaskan perbezaan strategi perang Baghdad dan Washington ketika ini.

AS berpendapat, serangan udara perlu dihadkan sehingga tentera Iraq benar-benar bersedia menguasai sesuatu kawasan ditawan IS.

Kata Haider, kekuatan IS kini sedang merudum dan kian lemah.

“Iraq sangat berterima kasih kepada sokongan diberikan kepada kami,” katanya.

Hagel membuat lawatan mengejut ke Baghdad ketika AS dan sekutunya meningkatkan peranan masing-masing memerangi IS.

Diketuai AS, beberapa negara Barat dan Arab berpakat melancarkan lebih 1,000 serangan udara ke atas kedudukan IS sejak 8 Ogos lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 9:09 AM