ASKAR Iraq melihat sebuah kereta kebal yang musnah ketika pertempuran dengan IS berhampiran Tikrit pada Khamis lalu.
ASKAR Iraq melihat sebuah kereta kebal yang musnah ketika pertempuran dengan IS berhampiran Tikrit pada Khamis lalu.
Reuters

Erbil, Iraq: Operasi besar-besaran paling dinanti bagi menawan bandar Mosul, kubu kuat kumpulan militan Negara Islam (IS) mungkin tidak berlaku pada tahun ini.

Pegawai wilayah Kurdis, Qubad Talabani berkata, operasi ketenteraan itu tidak mungkin dijalankan kerana tentera Iraq belum bersedia.

Katanya, walaupun mencapai kejayaan peperangan sebelum ini, dia tidak yakin pasukan bersenjata Iraq mampu menawan kubu kuat IS itu sebelum 2017.

“Saya tidak fikir operasi bagi menawan semula Mosul dijalankan pada tahun ini.

“Saya tidak fikir pasukan keselamatan Iraq bersedia dan Amerika Syarikat (AS) juga tidak yakin dengan kemampuan semua pihak untuk melancarkan serangan pada tahun ini,” katanya.

Tentera pakatan yang diketuai AS berusaha keras melatih dan membina semula pasukan keselamatan Iraq yang tumbang apabila IS menawan Mosul serta sebahagian besar negara itu pada 2014.

Pasukan keselamatan Iraq ketika ini bergantung kepada kumpulan separuh tentera Syiah dan pejuang Kurdis untuk menentang IS.

Bagaimanapun, pembabitan kumpulan pejuang itu dalam misi menawan Mosul yang majoritinya penduduk Sunni mungkin mencetuskan ketegangan kaum.

Pegawai Kurdis berkata, pejuangnya sentiasa menyokong serangan menawan Mosul, tetapi ia perlu diketuai tentera Iraq sendiri.

“Kami bersedia untuk mengambil bahagian dalam serangan membebaskan Mosul, tetapi tidak adil untuk menjangkakan kami mengetuai operasi itu,” jelasnya.

Pada bulan lalu, pasukan tentera Iraq berjaya menawan Ramadi daripada IS yang dianggap kejayaan besar untuk negara itu.

Presiden Iraq, Haider al-Abadi berkata, IS akan dihalau keluar dari negara itu pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:05 AM